SUDAH lama saya menyimpan hasrat membingkaikan bintang seni ini sebagai wajah muka hadapan Pancaindera. Berbelas purnama menunggu, akhirnya Tuhan memakbulkan perancangan itu.
Ning Baizura, sepotong nama yang kekal memuncak dalam industri untuk tiga dekad lamanya. Satu tempoh seusia saya. Perjalanannya dalam industri berliku. Tidak semudah mematahkan sebatang pensil.
Melayangkan soalan pertama, Pancaindera cuba mengorek penyesalan dan kekecewaan dalam diri penyanyi Selagi Ada Cinta ini. Pernahkah dia meronta mahu memutar kembali waktu, mengubah sejarah seninya?
“Tidak sama sekali. Apa yang telah saya lalui, itu semua menjadikan siapa Ning Baizura sekarang. Dipuji, disanjung, ditipu dan dihina, semua saya lalui dengan rasa bersyukur. Tak ada satu pun saya mahu ubah.
“Tiada penyesalan, kerana semua itu menjadikan saya penghibur yang lebih berwaspada. Fikir sebelum bertindak. Pelbagai fasa kontroversi saya lalui, walaupun perit jangan cepat melatah. Jujur dengan diri sendiri dan sekeliling,” katanya.
Cukup tenang dalam melontarkan jawapan, lantas saya membawa penyanyi ini kembali menyoroti sejarah seninya. Sukarkah seorang penyanyi bersuara soprano sepertinya bertapak dalam industri?
“Tipu jika saya cakap mudah. Saya bermula dari bawah, di usia 9 tahun. Umur 16 tahun, saya menyertai pertandingan Voice of Asia. Album pertama, 18 tahun. Jadi, fasa itu memang sukar sekali.
“Ya, benar saya mendapat perhatian. Tetapi, populariti hadir dengan kontroversi. Terlalu banyak yang saya lalui, mungkin hanya secebis yang orang di luar sana tahu. Saya hanya mahu menjadi penghibur,” katanya.
Lantas Ning membuka cerita. Kongsinya, dia pernah dibaling botol ketika konsert pertamanya di Stadium Negara selepas peminat berang kerana dia terlewat memulakan persembahan.
“Ada 8,000 peminat hadir dan itu adalah konsert pertama saya. Tetapi, beberapa jam sebelum konsert, saya perlu membuat satu persembahan makan malam. Saya sendiri terkejut kerana dimaklumkan pada saat akhir.
“Naik sahaja pentas untuk lagu pertama, saya diejek dan ada yang baling botol mungkin kerana kecewa. Tetapi, bila saya jelaskan, baru peminat faham dan kembali memberi sokongan.
“Ketika itu saya sedar, jujurlah dalam apa keadaan sekali pun,” katanya.

Benar anda sayang industri?
Kecoh dunia hiburan apabila video Ning yang ‘semput’ ketika menyanyikan lagu Awan Yang Terpilu pada showcase I Am Ning Baizura baru-baru ini tular. Lantas, tertalu-talu kecaman dan kritikan diterima.
Mengajukan soalan adakah dia berkecil hati dengan penghinaan itu, bintang seni dengan 12 album ini hanya tergelak kecil.
“Sudah tiga dekad dalam industri seni, banyak lagi kontroversi yang lebih dahsyat saya dah tempuh. Sikit pun tidak terasa, bersyukur adalah. Ramai yang ambil berat dan memberi kata-kata semangat.
“Itu adalah nyanyian penuh emosi selepas empat hari mengadakan persembahan. Lagu ke-80 dik. Awan Yang Terpilu juga memberi makna yang cukup besar kepada saya. Saya sebak setiap kali menyanyikannya.
“Cuma, saya tertanya-tanya, yang kecam, kritik itu, benarkah anda sayang industri? Kalau sayang, kenapa sebegitu sekali kecaman dan penghinaan yang dilontar. Bukan kepada saya sahaja, ramai lagi,” ujarnya.
Pada tangga usia 47 tahun, penyanyi bersuara emas ini enggan melayan kritikan yang menjatuhkan. Tidak mahu dia larut sama melayan emosi. Bertenang, dia tidak perlu membuktikan apa-apa lagi.
“Saya sendiri tidak pernah mengimpikan untuk bertahan selama ini. Syukur masih ada dalam industri. Saya boleh berkongsi ilmu dengan anak-anak muda. Untuk jadi relevan itu tiada resipi.
“Sentiasa bangkit walaupun terlalu perit, perjalanan harus diteruskan. Ini perjuangan saya,” jelas pemegang dua trofi Persembahan Vokal Terbaik (solo dan berkumpulan), Anugerah Industri Muzik ini.
Kekal keunikan, peribadi
Sukar sekali untuk mencari penyanyi bersuara soprano menggantikan Ning Baizura. Adakah peminat muzik masih belum boleh menerima suara sebegitu atau pemain industri seni sendiri yang menolak?
Tidak menafikan kesukaran itu, bagi Ning, kita mempunyai ramai penyanyi bagus yang boleh menjadi pelapis kepada legenda seni suara, terutama wanita.
“Memang susah, saya pun tidak tahu mengapa. Tetapi, kita ada ramai penyanyi yang bagus. Ernie Zakri sebagai contoh. Cuma, untuk yang mahu meperjuangkan suara soprano, perjalanan itu akan sukar dan panjang.
‘Misi saya sekarang adalah untuk mendidik penyanyi muda. Saya suka mengajar dan sekarang pun saya buka kelas vokal. Itu adalah cara saya memberi semula nikmat yang telah dikurnia sepanjang dalam industri seni ini.
“Tak usahlah cari pengganti Ning Baizura. Begitu juga dengan artis lain. Ziana Zain, Siti Nurhaliza, Anuar Zain ke, semua ada keunikan sendiri. Peribadi yang tiada galang ganti,” katanya.
Lantas saya ajukan pertanyaan akhir, apa impian besar ibu kepada seorang anak,Ryan Sky Dalton ini? Adakah konsert berskala besar di dalam dan luar negara?
“Saya sudah merantau, mengelilingi dunia. Membuat persembahan dan mewakili negara. Pelbagai anugerah dan pencapaian juga sudah diraih. Apa lagi ya?
“Sekarang, saya cuma mahu menyumbang sebanyak mana ilmu sepanjang perjalanan seni saya yang tidak dapat dipelajari daripada mana-mana buku. Seronok sebenarnya mengajar anak muda.
“Kalau ditanya apa lagi, saya mahu mencuba jadi pengacara. Mungkin sebuah program sendiri. Nyanyian sudah, lakonan juga sudah. Jadi saya mahu cuba bidang lain pula,” katanya disulami gelak tawa. – PANCAINDERA











