KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengasas Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, parti yang memenangi paling banyak kerusi Parlimen pada PRU15 akan mengadakan kerjasama dengan parti lain untuk menubuhkan kerajaan.
“Saya yakin, kali ini (PRU15) tiada parti yang boleh dapat (menang) lebih 50 peratus kerana bukan dua parti sahaja bertanding, sekarang banyak parti yang seronok mahu jadi Perdana Menteri.
“GTA juga bersedia bekerjasama dengan parti lain untuk menubuhkan kerajaan namun kita tidak akan menjalinkan kerjasama dengan parti yang tidak berintegriti dan terpalit dengan amalan rasuah,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Himpunan Nasional Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) 2022 di sini, hari ini.
Ditanya sama ada GTA bersedia bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO, Dr. Mahathir berkata, perkara itu tidak akan berlaku kerana UMNO ketika ini sudah rosak sehingga ke peringkat akar umbi.
“Sebagai sebagai parti tidak kerana BN dan UMNO ini sudah rosak daripada pucuk pimpinan sampai ke akar umbi dan semuanya terlibat rasuah serta sokong parti kerana duit.
“Apabila saya keluar parti banyak bersetuju dengan saya tetapi tidak berani keluar sebab tidak akan dapat duit. parti ini (UMNO) parti duit. Apabila Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) ada di ‘dalam’ mungkin tidak boleh beri banyak duit,” katanya.
Sementara, Dr, Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan bahawa Parti Warisan (Warisan) ketika ini bukan sebahagian daripada gabungan GTA.
Bagaimanapun, katanya, tanpa penyertaan Warisan, gerakan berkenaan tetap mendapat sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat di Sabah dan Sarawak malah, lebih kuat berbanding di Semenanjung.
Dalam pada itu, kata Dr. Mahathir, gabungan GTA tidak akan menamakan mana-mana pemimpin sebagai calon Perdana Menteri menjelang PRU15.
“Kita ada calon untuk jadi Perdana Menteri, tetapi kenapa mahu umum?. Kalau tidak menang pada PRU15 jadi calon Perdana Menteri tiada gunanya. Kita perlu menang dahulu dan selepas itu kita umumkan,” katanya. – UTUSAN