KUALA LUMPUR: Tiada mana-mana pihak boleh mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan apa juga perkara yang bertentangan dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan pengasingan kuasa.
Ini kerana menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, kerajaan akan mengutamakan integriti, selaras dengan amanat Ismail Sabri yang berulang kali disampaikan kepada jemaah menteri.
“Soal integriti perkara penting bagi kerajaan, terutamanya Perdana Menteri. Beliau menegaskan beberapa kali dalam jemaah menteri supaya pastikan kerajaan ini kekal istiqamah mendahulukan rakyat dan mematuhi prinsip pengasingan kuasa, integriti serta menjaga harapan dan aspirasi rakyat.
“Tiada sesiapa yang boleh cuba memaksa Perdana Menteri melakukan sesuatu yang tidak kena dengan keluhuran undang-undang, pengasingan kuasa dan integriti kerajaan.
“Lain-lain cadangan yang lari daripada dasar itu tidak akan dilakukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, tak kira daripada siapa pandangan itu datang,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.
Terdahulu, Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perdana Menteri seharusnya melantik Peguam Negara dalam kalangan ‘orang dia’ untuk memudahkan segala urusan.
Kenyataan Azalina itu mendapat kritikan pelbagai pihak yang melihatnya sebagai desakan supaya Perdana Menteri mencampuri urusan kehakiman, susulan pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, Azalina dalam satu kenyataan semalam menjelaskan, saranan supaya Perdana Menteri memilih ‘orang dia’ sebagai Peguam Negara juga selari dengan agenda reformasi sistem pentadbiran negara, yang diperjuangkan pelbagai pihak. – UTUSAN