PETALING JAYA: Musim tengkujuh yang lazimnya melanda hujung tahun bukan halangan untuk kerajaan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, situasi sama pernah berlaku pada 1999 apabila PRU10 diadakan pada bulan November.
Katanya, dalam situasi cuaca yang tidak menentu pada masa ini, tiada masalah jika PRU15 mahu diadakan pada hujung tahun sepertimana khabar angin yang bertiup.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mempunyai pengalaman semasa 1999 dan tentunya persiapan yang dilakukannya mengambil kira semua pertimbangan sekiranya PRU dibuat akhir tahun ini.
“Pada pandangan saya, PRU sesuai dilakukan pada tahun ini memandangkan mandat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah hampir ke penghujung,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menuntut agar Perdana Menteri segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.
Katanya, Majlis Tertinggi (MT) parti itu telah memberikan panduan kepada Ismail Sabri bagi menetapkan tarikh pembubaran parlimen.
Menurut Mohd. Izani, gesaan UMNO untuk mempercepat PRU15 adalah konsisten, malah sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020 lagi mereka mahu mandat dikembalikan kepada rakyat.
Katanya, tindakan melengahkan PRU pada tahun depan bakal menyebabkan UMNO berdepan banyak cabaran terutama dengan kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin parti itu.
“Situasi politik mungkin tidak memihak kepada UMNO jika PRU15 dibuat pada 2023,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, pihak yang menggesa PRU15 dibuat segera, berkemungkinan tidak mampu mendapat keuntungan besar seperti yang dibayangkan.
Katanya, PH tentu mengambil kesempatan menggunakan kelemahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) termasuk isu Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai peluang keemasan untuk mendapatkan kembali peluang kedua selepas jatuh akibat Langkah Sheraton. – UTUSAN










