Taktik tukar pemandu gagal seludup daun ketum

Taktik tukar pemandu gagal seludup daun ketum

MOHD. Nasir Deraman (kiri) menunjukkan daun ketum dalam plastik hitam yang dirampas di Pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang, Kelantan hari ini. - FOTO/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Taktik sindiket penyeludupan daun ketum menukar pemandu bagi mengaburi mata penguat kuasa gagal apabila lori yang membawa 1.45 tan bahan itu berjaya ditahan berhampiran persimpangan lampu isyarat bandar Ketereh, Kota Bharu kelmarin.

Dalam serbuan pukul 4 pagi itu, anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menahan seorang pemandu lori berusia 22 tahun bagi membantu siasatan berkait rampasan tersebut.

Pengarahnya, Mohd. Nasir Deraman berkata, pendedahan berkait dengan taktik tersebut diperoleh hasil siasatan awal yang dilakukan ke atas suspek tersebut.

Menurutnya, suspek kini direman selama empat hari bermula 9 Ogos bagi membantu siasatan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota yang membuat rondaan telah terserempak dengan sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan. Anggota bertugas kemudian bertindak mengekori lori tersebut dari arah Tanah Merah menghala ke Ketereh.

“Sebaik sahaja berjaya menahan lori tersebut, anggota bertugas membuat pemeriksaan dan menjumpai bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum bernilai RM14,500,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang, di sini hari ini.

Mohd. Nasir memberitahu, kesemua daun ketum yang dibawa masuk dari Kedah itu dipercayai untuk pasaran negeri ini.

Katanya, JKDM Kelantan sedang mengesan pemilik daun ketum terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya