BALING: Keadaan Sungai Kupang di Kampung Iboi di sini yang turut memiliki kawasan rekreasi Lata Chelak semakin teruk terhakis sejak tragedi kepala air dan banjir lumpur dari Gunung Inas, pada 4 Julai lalu.
Sungai yang terletak kira-kira enam meter dari rumah penduduk sebelum ini, kini hanya berjarak tidak sampai dua meter disebabkan Sungai Kupang yang menjadi semakin lebar dan dipenuhi pasir dari gunung sehingga batu-batu besar sekitar Lata Chelak juga tidak lagi kelihatan.
Sehingga kini, kerja-kerja mengorek bagi mendalamkan semula sungai itu masih giat dilakukan sejak bencana pertama berlaku, namun, keadaan kembali teruk apabila beberapa kampung berhampiran sekali lagi dilanda banjir lumpur pada 28 Julai lalu.
Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee berkata, tebing Sungai Kupang menjadi semakin tinggi yang secara tidak langsung mempercepatkan laluan air dari hulu sungai ke kampung yang berdekatan.
“Apakah tindakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah untuk mengurangkan risiko larian lumpur ke Sungai Kupang di kawasan yang terbuka, adakah menutup kawasan itu dengan penutup atau menanam rumput yang sesuai bagi mengurangkan larian lumpur ke sungai berkenaan?
“Ini kerana, projek itu terletak di Kawasan Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (Rangkaian Utama 5) seperti yang diperincikan dalam Pelan Induk Central Forest Spine (CFS) dan Rancangan Fizikal Negara,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, CFS mempunyai kawasan tadahan air gunung kritikal dan kawasan tadahan yang membekalkan air untuk 90 peratus penduduk negara.
Malah, beliau berkata, ia juga berupaya mengawal perubahan iklim, perlindungan tanah dan menyimpan karbon serta merupakan habitat kepada pelbagai flora dan fauna. – UTUSAN










