‘Suami kata nak pergi jauh’

‘Suami kata nak pergi jauh’

AHLI keluarga nelayan yang ditemukan lemas di perairan Pulau Redang tidak dapat menahan kesedihan apabila mayat nelayan terlibat dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Terengganu di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang isteri tidak menyangka kata-kata yang terucap daripada suaminya yang mahu pergi jauh menjadi petanda dia akan pergi buat selamanya.

Rahimah Yusof, 45, berkata, suaminya, Saludin Ismail, 50, meluahkan hasratnya itu sebelum keluar memancing bersama lima rakannya dengan menaiki bot miliknya pada pukul 10 malam, Ahad lalu.

Menurutnya, lebih memilukan apabila tidak sempat berjumpa suaminya itu buat kali terakhir kerana tiada di rumah ketika Saludin bertolak ke jeti pada malam kejadian.

“Ketika dia meninggalkan rumah, saya sedang membantu keluarga kakak ipar yang mahu mengadakan majlis. Ketika saya pulang, suami tiada di rumah dan keluar memancing.

“Dia ada beritahu yang dia sedang buat banyak bubu dan sebaik siap semuanya nanti, dia nak pergi jauh. Saya sangkakan dia bermaksud lokasi memancing kali ini lebih jauh daripada kebiasaan.

“Selalunya dia akan membuat panggilan video walaupun di tengah laut namun sejak kelmarin, langsung tiada khabar berita selain tidak membalas WhatsApp saya,” katanya ketika ditemui di Jeti Maritim Malaysia Terengganu di Pulau Kambing di sini, semalam.

Jenazah Saludin bersama dua lagi rakan, Mohd. Nazri Abu Bakar, 48, dan Zulkifli Umar, 48, tiba di jeti tersebut sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Bot yang dinaiki enam nelayan itu karam selepas dipukul ombak dalam kejadian ribut kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Redang di sini kira-kira pukul 10 malam, Isnin lalu.

Dua lagi mangsa yang dilaporkan hilang ialah Ahmad Zamri Ishak, 66, dan Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, pula terselamat dalam kejadian itu. 

Tambah Rahimah, arwah suaminya yang bekerja tetap sebagai peniaga itu sering bersama-sama rakan-rakannya yang tidak bekerja menaiki botnya mencari hasil laut.

“Bot milik suami itu hanya dijadikan hobi atau digunakan untuk keluar memancing ketika ada masa terluang. Jika ada hasil laut yang banyak, suami akan beri kepada orang kampung dan ahli keluarga,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×