SPPIK tingkat kecekapan Finas

SPPIK tingkat kecekapan Finas

MD. NASIR IBRAHIM (tengah) melawat lokasi-lokasi penggambaran perfileman tempatan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggiat industri kreatif negara tidak perlu lagi datang ke pejabat atau cawangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk urusan perlesenan kerana ia boleh diselesaikan menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) secara dalam talian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, ia merupakan sistem yang dibangunkan dan diperkenalkan pada 15 Disember 2021 bagi mempercepat proses permohonan, semakan serta perkhidmatan pembayaran selain mampu menjana pangkalan data lengkap dan sistematik.

Katanya, SPPIK adalah hasil usaha Finas untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada pelanggan yang sudah lama dicadangkan dan mahu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi supaya kekal relevan di dalam industri yang dikendalikan.

“Kesan ketara pelaksanaan sistem ini ialah memudahkan perkhidmatan kepada pelanggan, contohnya, semasa tempoh penularan Covid-19 dalam negara, pelanggan tidak perlu hadir ke Finas untuk apa-apa permohonan berkaitan dan semuanya dilakukan secara dalam talian. Ini juga menjimatkan kos dan risiko keselamatan kepada pelanggan.

MD. NASIR IBRAHIM

“Alhamdulillah, maklum balas yang kami terima daripada penggiat-penggiat industri mengenai sistem ini amat memberangsangkan. Pun begitu, Finas akan sentiasa menambah baik dan meningkatkan perkhidmatan serta modul sistem SPPIK ini.

“Dalam aspek lain, sistem ini juga menjimatkan masa, mengurangkan penggunaan borang manual, permohonan dan semakan dokumen bergerak lebih pantas dengan pemakluman terus kepada pemohon jika ada dokumen tidak lengkap malah sistem interface yang lebih mesra pengguna dan mengurangkan kos operasi dalaman Finas sendiri,” katanya baru-baru ini.

Md. Nasir berkata, perkhidmatan disediakan melalui SPPIK termasuk permohonan baharu lesen filem video (pengeluaran, pengedaran dan pemameran); permohonan surat akuan penggambaran (SPP)l permohonan perubahan akuan surat penggambaran (SPP), permohonan sijil akuan filem buatan Malaysia (MIM) dan permohonan bayaran filem asing (BFA).

Selain itu, SPPIK menawarkan perkhidmatan untuk permohonan surat sokongan kemasukan pekerja filem asing (PFA); permohonan pertukaran alamat; permohonan tuntutan deposit filem dan video; permohonan penamatan lesen filem dan video dan permohonan perubahan alamat lesen filem dan video.

Setakat 7 Julai lalu, Finas telah mengeluarkan 1,218 bagi lesen pemameran untuk para penggiat industri kreatif.

Selain itu, Md. Nasir berkata, Finas kini dalam proses membuat integrasi antara agensi berkaitan seperti Lembaga Penapisan Filem (LPF), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam permohonan lesen untuk menambah baik sistem SPPIK. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN