KUALA TERENGGANU: Kegiatan sindiket rokok seludup dan pinjaman wang tanpa lesen yang aktif di bandar raya ini sejak beberapa bulan lalu berjaya ditumpaskan polis, Rabu lalu.
Dalam serbuan di dua pangsapuri di bandar raya ini polis menahan empat lelaki berusia dalam lingkungan 26 hingga 34 tahun disyaki anggota sindiket berkenaan yang berasal dari Selangor.
Timbalan Ketua Polis, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, sindiket tersebut disyaki memasarkan bekalan rokok disyaki tanpa cukai kepada pengusaha kedai runcit dan peniaga kecil di sekitar bandar raya ini.
“Sewaktu melakukan urus niaga rokok seludup berkenaan, mereka juga akan menawarkan kemudahan pinjaman wang tanpa lesen kepada peniaga terbabit.
“Berdasarkan semakan awal, seramai antara 10 hingga 15 individu telah mendapatkan perkhidmatan pinjaman wang daripada sindiket berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, semalam.
Wan Rukman berkata, serbuan di sebuah pangsapuri di Pulau Kambing di sini pada pukul 5.30 petang, Rabu lalu telah menemui wang tunai lebih RM86,000 yang disimpan di dalam sebuah peti simpanan.
Tambah beliau, serbuan di lokasi sama juga menjumpai 200 karton rokok disyaki tanpa cukai manakala 26 karton rokok seludup lain pula ditemui dalam serbuan kedua di sebuah pangsapuri berasingan di pusat bandar raya ini pada pukul 11 pagi kelmarin.
“Sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner turut dirampas bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati salah seorang suspek yang berusia 26 tahun mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan judi dan pinjaman tidak berlesen,” katanya.
Wan Rukman berkata, ujian air kencing terhadap keempat-empat suspek didapati negatif dan mereka direman selama empat hari sehingga hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN










