Sekatan eksport ayam akan disemak semula - PM

Sekatan eksport ayam akan disemak semula – PM

ISMAIL Sabri Yaakob diiringi Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tengah) melawat Pameran MAHA 2022 di MAEPS, Serdang, hari ini. - FOTO/IHSAN RAKAN MEDIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang mengkaji semula sekatan eksport ayam dan akan dibentangkan pada minggu hadapan.

Ini ekoran daripada permintaan golongan penternak kerana terjadinya lambakan bekalan ayam di dalam negara selepas pembekuan eksport tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menyemak semula sekatan eksport ayam sekiranya aktiviti tersebut tidak menjejaskan bekalan bahan mentah itu dalam negara.

Menurut beliau, dapatan semakan itu akan dibentangkan pada minggu hadapan oleh Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee secara terperinci mengenai mengenai berapa jumlah keluaran ayam pada bulan hadapan dan apakah kesan sekiranya penarikan sekatan eksport itu.

“Sekarang ni permohonan daripada penternak supaya kita menyemak semula eksport ayam yang dibekukan. Jadi kita akan bincang, kalau rasa kita boleh benarkan eksport dan bekalan dalam negara pun tidak berkurangan disebabkan itu, mungkin kita boleh pertimbangkan untuk menyemak semula.

“Kalau kita bukak takut terkesan dari segi bekalan untuk dalam negara, bila bekalan kurang harga mesti naik. Permintaan melebihi dari bekalan, sebab itu kita minta MAFI tengok secara terperinci,” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan di Pavilion Pahang, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022, di sini.

Untuk rekod berkuat kuasa 1 Jun lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah melaksanakan sekatan eksport ayam melibatkan bekalan ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan.

Ia merupakan sebahagian intervensi untuk mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara yang bertujuan menyumbang kepada kestabilan harga makanan.

Walaubagaimanapun, penternak menggesa kerajaan untuk membuka sekatan tersebut bagi mengelakkan lambakan ayam dan sekatan itu juga dilihat hanya memberi tekanan terhadap pemain industri kecil serta sederhana, sekali gus memaksa kumpulan itu bersaing sesama sendiri.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mengutamakan kepentingan semua pihak dalam melaksanakan apa-apa keputusan.

“Kita akan tengok secara terperinci, ini kepentingan semua pihak. Rakyat nombor satu dan lain-lain seperti penternak, pemborong serta sebagainya asalkan jangan memberi kesan kepada kepentingan rakyat, itu yang penting,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN