Duit raya anak: Hak siapa sebenarnya?

Duit raya anak: Hak siapa sebenarnya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali tiba Aidilfitri, antara perkara paling dinanti-nantikan oleh kanak-kanak tentulah duit raya. Sampul berwarna-warni yang berisi wang itu bukan sekadar simbol kegembiraan, malah menjadi satu rezeki kecil buat mereka.

Namun, timbul persoalan yang sering dibincangkan iaitu duit raya anak ini sebenarnya hak siapa? Bolehkah ibu bapa menggunakannya terlebih dahulu dan kemudian menggantikannya?

Secara asasnya, ramai berpendapat duit raya yang diberikan kepada anak adalah hak milik anak tersebut.

Ia diberikan atas nama mereka, bukan ibu bapa. Dari sudut ini, memang wujud pandangan tegas ibu bapa tidak sepatutnya menggunakan duit itu walaupun dalam keadaan terdesak.

Bagi sesetengah orang, mengambil duit raya anak dianggap seperti ‘meminjam tanpa izin’, lebih-lebih lagi jika tidak diganti.

Namun begitu, realiti kehidupan tidak selalu hitam putih. Ada juga ibu bapa yang berpendapat mereka boleh menggunakan duit raya anak dengan niat untuk menggantikan semula pada masa akan datang.

Dalam situasi tertentu seperti kecemasan atau kesempitan sementara, pendekatan ini dilihat lebih praktikal.

Tetapi, kunci utamanya adalah amanah. Jika benar ingin ‘meminjam’, pastikan ia benar-benar diganti dan bukan sekadar janji kosong.

Di sisi lain, ada juga pandangan yang lebih seimbang. Duit raya anak boleh digunakan, tetapi mestilah untuk keperluan anak itu sendiri.

Contohnya, untuk membeli keperluan sekolah, simpanan pendidikan, atau perbelanjaan yang memberi manfaat jangka panjang kepada mereka.

Ini lebih munasabah berbanding menggunakan duit tersebut untuk keperluan rumah tangga seperti membeli barang dapur atau pakaian ibu bapa.

Apa yang penting di sini ialah niat dan cara pengurusan. Ibu bapa seharusnya melihat duit raya anak sebagai peluang untuk mendidik mereka tentang nilai wang.

Daripada terus menggunakan, mungkin lebih baik simpan dalam akaun atau tabung khas, dan ajar anak cara mengurus simpanan mereka sejak kecil.

Kesimpulannya, duit raya anak memang hak mereka. Namun, dalam keadaan tertentu, penggunaan oleh ibu bapa boleh dipertimbangkan dengan syarat telus, amanah dan memberi manfaat kepada anak.

Paling penting, jangan sampai kepercayaan anak terjejas hanya kerana duit raya.

-Adlinahani Khalil adalah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN