SAPP jangan berlagak sombong-ADUN Warisan

SAPP jangan berlagak sombong-ADUN Warisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee diingatkan agar tidak terlalu sombong dalam mengeluarkan kenyataan bagi menyerang Parti Warisan (Warisan).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai daripada Warisan, Sarifuddin Hata berkata, Warisan tidak takut untuk berhadapan dengan mana-mana pesaing menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terutama SAPP yang disifatkan sebagai sebuah parti yang sudah lama terkubur.

Ketua Warisan Bahagian Kalabakan itu berkata, serangan berterusan oleh Presiden SAPP itu tidak pernah melunturkan semangat parti sebaliknya menjadikan mereka lebih kuat dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Yong Teck Lee cenderung untuk sentiasa memburukkan Warisan dengan melemparkan pelbagai tuduhan seolah-olah dia taksub untuk menjatuhkan kita.

“Baru-baru ini beliau mengumumkan bersedia untuk menentang kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen Warisan. Video yang tular itu menunjukkan sifat sombong dan keangkuhannya bagi mendapatkan publisiti.

“Kerjaya politik Teck Lee sebenarnya sudah berakhir tetapi dihidupkan semula melalui penyertaannya dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak diarahkan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas pada tahun 2001, ADUN Dilantik itu telah melakukan beberapa percubaan untuk membuat kemunculan semula dalam politik namun tidak berjaya.

Malah, calon-calon SAPP juga telah tewas dan kehilangan wang deposit.

Menjelang PRU-15, Sarifuddin menasihatkan pengundi muda di negeri ini agar bijak menilai pemimpin yang boleh membawa pembangunan di Sabah dan bukannya pemimpin yang angkuh dengan kata-kata sendiri.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN