Sabah perluas pusat pengumpulan pertanian di setiap daerah

Sabah perluas pusat pengumpulan pertanian di setiap daerah

JEFFREY Kitingan (empat kiri) menyempurnakan penutupan forum sempena Hari Orang Asal Sedunia di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah bercadang untuk memperluaskan pusat pengumpulan hasil pertanian di setiap daerah menjelang tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, pada masa ini enam pusat pengumpulan hasil pertanian telah dan sedang dibangunkan bagi memudahkan golongan petani termasuk Orang Asal memasarkan produk pertanian masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, pembangunan pusat pengumpulan itu akan dilakukan menerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD).

“Kita menyasarkan setiap daerah memiliki pusat pengumpulan masing-masing dan kita harap tahun ini kesemua empat pusat yang sedang dalam pembinaan itu dapat disiapkan.

“Setakat ini, hanya dua pusat pengumpulan telah siap iaitu di Kundasang dan Kota Marudu.

“Kita harap akan mendapat peruntukan pada tahun depan bagi membangunkan pusat-pusat pengumpulan yang lain. Kalau dapat buka di semua 25 daerah itu lebih baik,” katanya selepas merasmikan penutupan forum sempena Hari Orang Asal Sedunia hari ini.

Menurut beliau, penubuhan pusat pengumpulan sebegitu penting bagi memastikan petani kecil-kecilan termasuk Orang Asal boleh menghantar hasil pertanian mereka dengan harga berpatutan tanpa perlu bersusah payah mencari pasaran hasil pertanian mereka.

Di samping itu katanya, jawatankuasa khas perlu diwujudkan bagi menjaga kebajikan Orang Asal dalam aspek budaya, ekonomi dan politik.

Jeffrey berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa itu akan dibawa ke Kabinet Negeri untuk kelulusan bagi membolehkan keperluan dan kebajikan Orang Asal lebih terjamin.

Beliau berkata, kerjasama daripada pelabur juga diperlukan untuk sama-sama membantu meningkatkan ekonomi Orang Asal kerana pelabur mempunyai keupayaan dari segi kewangan.

“Kalau dilihat Orang Asal mempunyai banyak tanah yang tidak dibangunkan jadi, pelabur mungkin boleh membantu membangunkan tanah berkenaan untuk tujuan pertanian,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN