Saarani gagal tunjuk teladan kutip petisyen bebas Najib - Mujahid

Saarani gagal tunjuk teladan baik kutip petisyen bebas Najib – Mujahid

MUJAHID YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan Datuk Seri Saarani Mohamad mengumpul petisyen pengampunan diraja untuk Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan Menteri Besar itu gagal menunjukkan teladan yang baik dalam memimpin kerajaan negeri.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, tindakan itu membuktikan Saarani gagal memahami fakta kes yang jelas dikaitkan dengan salah guna kuasa oleh bekas perdana menteri itu.

Menurutnya, sikap Pengerusi UMNO Perak itu yang mengheret rakyat menyokong perasuah yang terbukti ‘mencuri’ duit rakyat wajar diprotes oleh rakyat.

“Saya kesal kerana sebagai menteri besar, beliau gagal memahami fakta kes yang dengan jelas dikaitkan dengan dakwaan kukuh pecah amanah dan penggubahan wang haram.

“Warga Perak harus ‘menghukum’ kerajaan BN Perak yang jelas gagal menunjukkan teladan dan sikap tegas menentang rasuah dan membentuk kerajaan yang ada maruah dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, Saarani sepatutnya tidak menunjukkan kepada rakyat membela individu yang telah disabitkan bersalah dalam kes berprofil tinggi.

“Sebelum ini pun beliau ada menyatakan rasa simpati kepada Najib dan di atas alasan inilah beliau menggerakkan petisyen daripada kalangan ahli UMNO untuk mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

“Apakah Menteri Besar Perak ini bersimpati kepada salah guna kedudukan, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana rakyat yang kini terpaksa menderita dengan kes ini dan 1MDB,” soalnya.

Semalam, Saarani berkata, UMNO Perak akan mula mengumpul petisyen ahlinya di negeri ini untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pengampunan ke atas Najib.

Badan Perhubungan UMNO Negeri telah diminta mengeluarkan pekeliling supaya dapat dianjurkan kutipan tanda tangan dalam kalangan ahlinya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN