JOHOR BAHRU: Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang diluluskan baru-baru ini bukan sahaja memberi jaminan bahawa setiap undi amat bernilai, malah mampu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi di negara ini.
Malah, menurut Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abdul Aziz, perkara itu sekali gus meningkatkan peratusan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, penggubalan akta tersebut bukan sahaja disambut baik oleh golongan pemimpin dan parti politik, malah amat dialu-alukan oleh rakyat.
“Perkara ini juga adalah satu perubahan bagi landskap politik yang diyakini mampu menarik kembali majoriti rakyat negara ini untuk keluar mengundi apabila tiba pilihan raya.
“Muda sambut baik keputusan untuk melaksanakan Akta Anti Lompat Parti kerana ia selari dengan hasrat penubuhan kami yang mahukan perubahan dalam landskap politik semasa.
“Langkah ini akan memberi jaminan kepada rakyat bahawa undi mereka penting dan diambil serius. Ia adalah satu amanah besar dan jika dilanggar seseorang wakil rakyat itu seharusnya menerima tindakan dan bukan sebaliknya yang berlaku sekarang apabila mereka mendapat habuan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Amira Aisya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berharap semua negeri turut menggubal enakmen yang berkaitan bagi mengikut langkah kerajaan menggubal akta tersebut.
“Barisan pembangkang akan membangkitkan usul tentang perkara ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan datang dan saya tidak merasakan itu akan menjadi masalah kerana di peringkat pusat, perkara itu dipersetujui wakil rakyat daripada kedua-dua blok, pembangkang dan kerajaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merupakan wakil rakyat ‘tunggal’ Muda dalam DUN Johor turut berharap kerajaan akan menyegerakan usaha untuk mengawal pendanaan politik yang masih tidak jelas sehingga hari ini.
“Akta Anti Lompat Parti memainkan peranan besar dalam memastikan kestabilan politik negara, namun dalam masa sama kita juga menggesa agar Akta Pendanaan Politik turut dibentangkan di Parlimen.
“Selagi perkara itu tidak dijelaskan dan digariskan, selagi itu masalah rasuah akan berleluasa dari peringkat atas sehinggalah ke peringkat bawah. Jadi, kita amat berharap perkara ini dapat disegerakan bagi melakukan perubahan dalam landskap politik negara,” jelasnya. – UTUSAN










