Rumah teres dijadikan makmal dadah dibongkar - Utusan Malaysia

Rumah teres dijadikan makmal dadah dibongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis berjaya membongkar kegiatan satu sindiket dadah yang menjadikan rumah teres sebagai makmal memproses dadah di Taman Mastiara, Jalan Ipoh dekat sini pada 27 Julai lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 2.45 pagi itu, polis memberkas seorang kontraktor elektrik yang berperanan sebagai tukang memproses dadah jenis ketamin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, operasi berkenaan dijalankan sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Kata beliau, suspek berusia 39 tahun itu merupakan seorang duda anak satu dan telah dibebaskan daripada penjara pada 2019 atas kesalahan dadah.

“Hasil serbuan itu pelbagai peralatan serta bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah dirampas.

“Selain itu, turut dirampas satu kilogram dadah jenis ketamin yang siap diproses dipercayai untuk pasaran sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Azmi, suspek menyewa rumah tersebut sejak dua bulan lepas bagi menjalankan kegiatan memproses dadah.

Menurutnya, ujian saringan yang dijalankan terhadap suspek mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata, JSJN KL dengan kerjasama daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT KL), Ibu pejabat Polis Daerah seluruh Kuala Lumpur dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan bersama melaksanakan Op Tapis di seluruh Kuala Lumpur.

Menurutnya, operasi menyasarkan kawasan perumahan awam dan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur.

“Seramai 209 orang ditangkap di bawah pelbagai kesalahan dadah.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 12 orang diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan dadah (Akta Dadah Berbahaya Langkah Langkah Pencegahan Khas(LLPK) 1985,” jelasnya.

Dalam pada itu, sebanyak 24 individu diambil tindakan di bawah kesalahan mengambil dadah berulang (Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952) dan lapan individu diambil tindakan kerana dikehendaki (wanted) di bawah pelbagai kesalahan dadah.

“Hasil serbuan berkenaan pelbagai dadah dan harta bernilai RM 374,829.40 disita.

“Antara yang dirampas melibatkan 15 liter cecair pelbagai jenis dadah, 1.6 kilogram pelbagai jenis dadah, sitaan harta melibatkan wang tunai berjumlah RM340 dan sebuah kereta jenis Honda Accord dianggarkan bernilai RM40,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya