PETALING JAYA: Polis telah merakam percakapan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung kebocoran dokumen draf didakwa keputusan perbicaraan rasuah Datin Seri Rosmah Mansor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mereka yang telah diambil keterangan terdiri daripada beberapa pegawai undang-undang mahkamah.
“Kita setakat ini telah merakam percakapan beberapa pegawai undang-undang mahkamah yang dipercayai mempunyai akses kepada dokumen yang didakwa bocor itu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kes tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sabtu lalu, Utusan Online melaporkan polsi membuka siasatan berhubung kebocoran dokumen draf susulan laporan dimuat naik sebuah portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022’ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here’ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu.
Eng Lai dilaporkan, ini susulan laporan polis dibuat daripada wanita warga tempatan berumur 42 tahun yang merupakan Pegawai Undang-undang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Ketua Unit Penyelidikan) mengenai kebocoran dokumen dalaman sulit yang merupakan dokumen draf awal disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Dokumen tersebut merupakan dokumen penyelidikan mengenai kes yang masih dalam perbicaraan dan merupakan pandangan oleh Unit Penyelidikan sebagai rujukan kepada hakim.
“Siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (kerana kesalahan membocorkan maklumat), Seksyen 203A Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mendedahkan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik),” ujarnya. – UTUSAN











