Riders batal mogok 26 Ogos ini

Riders batal mogok 26 Ogos ini

Wee Ka Siong berbual dengan para penunggang p-hailing di kementeriannya, di Putrajaya, Isnin lalu. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Komuniti p-hai­ling menuntut harga lantai di­tetapkan pada kadar RM5 un­tuk lima kilometer (KM) perta­ma dan RM1 untuk setiap KM se­terusnya bagi penghantaran pesanan.

Serentak dengan itu, kempen protes kali kedua yang dijadualkan 26 Ogos ini turut dibatalkan.

Ia selepas Kementerian Pengangkutan memberi penjelasan dan membatalkan syarat me­nge­nakan Lesen Kenderaan Barangan (GDL), semalam.

Presiden Persatuan-Persa­tuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Man­sor berkata, harga lantai per­lu diadakan dengan kadar yang munasabah bagi memastikan tia­da pihak mengeksploitasi hak mereka.

Menurut beliau, ketika ini tiada kadar harga lantai ditetapkan hingga menyebabkan penghantar ma­kanan terbeban de­ngan bayaran upah perjalanan yang semakin se­dikit dan tidak mem­bawa pulangan modal.

“Seperti dalam 10 pelan jangka pendek yang kami bawa semasa sesi dialog ber­sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong tempohari ia ada membincangkan me­ngenai tuntutan penetapan harga lantai bagi caj pengambilan dan penghantaran.

“Bagi pengambilan, kami mahu jarak maksimum untuk mengambil pesanan adalah dua KM dan setiap KM seterusnya kami perlu diberikan sebanyak RM0.50. Sebab ketika ini berlaku, daripada titik A ke titik B, kami tak tahu jumlah insentifnya sedangkan ia semua kos

“Untuk penghantaran kami mahu harga tetap RM5 untuk lima KM pertama, ia juga tak kira sama ada perjalanan penghantaran itu bawah lima KM sekali pun tetap RM5,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar melaporkan, satu sesi pertemuan diadakan bersama Menteri Pengangkutan, ia juga turut diketuai oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, persatuan, wakil penghantar dan vendor bagi membincangkan masalah yang melanda komuniti p-hailing.

Mengulas lebih lanjut, Zulhelmi berkata, insentif-insentif lain juga perlu diberi kepada penghantar makanan seperti elaun kerja pada cuti umum, lewat malam dan juga elaun menunggu pengambilan pesanan di vendor.

“Untuk kerja cuti umum dan lewat malam, penghantar makanan perlu dibayar sekurang-kurangnya RM1.50 untuk setiap pesanan.  Bagi caj restoran yang lewat menyediakan pesanan, penghantar makanan perlu diberi RM0.20 bagi setiap minit.

“Ini kerana ada sesetengah kes yang berlaku, penghantar makanan ni kena tunggu lama di restoran atau vendor. Ada juga vendor yang tidak jujur, mereka tekan makanan sudah siap disediakan walhal mereka baru nak buat, akhirnya kami dimarahi oleh pelanggan,” katanya.

Tambahnya, jarak dalam aplikasi penghantar makanan juga perlu diselaraskan dengan jarak sebenar iaitu mengikut seperti sistem aplikasi Waze dan Google Maps.

“Ini kerana, jarak dalam aplikasi tidak sama dengan jarak sebenar. Di dalam aplikasi ia seolah-olah kira mengikut pembaris dari titik A ke titik B walhal jarak di atas jalan raya melebihi jarak yang mereka kira,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN