PUTRAJAYA: Kira-kira 20 peratus daripada responden dalam kalangan staf Kementerian Kesihatan mengakui memang wujud budaya negatif termasuk gejala buli ketika bertugas.
Malahan insiden burnout atau keletihan yang teruk selain trend buli dan budaya kerja kurang sihat memang berlaku dalam sistem persekitaran kementerian berkenaan selama ini.
Perkara tersebut didedahkan oleh Pengerusi Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF), Prof. Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir, semalam.
Berdasarkan hasil maklum balas, seorang daripada lima responden dalam kaji selidik selama tiga bulan itu mengesahkan ada budaya kerja di kementerian itu negatif.
“Ini meliputi daripada keseluruhan responden seramai 110,411 petugas kementerian itu di seluruh negara yang tampil dalam kaji selidik kami,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini.
Bilangan peserta itu melibatkan hampir separuh daripada keseluruhan staf seramai 227,736 petugas manakala sekitar 20 peratus lagi responden hanya memberi jawapan sebagai neutral.
Terdahulu, beliau yang mengetuai pasukan disertai lapan individu membentangkan rumusan laporan mengenai beban tekanan tinggi dialami petugas kementerian berkenaan.
HWCITF ditubuhkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 13 Mei lalu susulan kes seorang pegawai perubatan siswazah (PPS) Hospital Pulau Pinang (HPP) maut 17 April lalu.
Misteri kematian doktor pelatih berusia 25 tahun itu menjadi topik panas pelbagai pihak dengan ramai menyalahkan budaya tidak sihat termasuk amalan buli dalam hospital kerajaan. – UTUSAN










