SERDANG: Meskipun kalah teruk dalam dua pilihan raya negeri sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) tetap melahirkan keyakinan bahawa pengundi masih lagi menyokong blok tersebut.
Bahkan dalam nada optimis, Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa, rakyat tidak menyokong parti tertentu yang terbukti sering mengamalkan gejala rasuah.
“Sebenarnya rakyat bersama kita, mereka juga benci rasuah dan tidak mahu pemimpin yang tidak bertanggungjawab,” katanya berucap menggulung Konvensyen PN 2022 di sini hari ini.
Ahmad Faizal yang sering menjadi bahan jenaka penyokong BN selama ini, meluahkan keyakinan bahawa PN akan menang pada Pilihan Raya Umum PRU Ke-15 (PRU15).
“Sebahagian besar rakyat kini ‘senada’ dengan perjuangan PN namun rakyat mahu kita agar bersatu hati kerana mereka bersetuju dengan cara kita selama ini,” katanya.
Justeru, beliau meminta ahli-ahli gabungan itu mengetepikan isu mengenai perebutan calon untuk kawasan tertentu dan kemelut penggunaan logo pada PRU15 yang tiada kesudahan.
Dalam nada agak kecewa, beliau menasihatkan semua anggota komponen PN berjuang demi kepentingan negara dan bukan peribadi serta menyucikan hati berkhidmat dengan ikhlas.
Ujarnya, mereka perlu akur menerima apa sahaja diputuskan kepimpinan parti dan mengelak segala perselisihan yang masih membelenggu PN sehingga memberi kelebihan kepada BN. – UTUSAN