Rakyat kecewa jika Najib dibebaskan

Rakyat kecewa jika Najib dibebaskan – Tun M

MAHATHIR Mohamad disambut para penyokong pada program Jelajah Sayang Bangsa negeri Perak parti Pejuang di Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Rakyat akan kecewa jika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan rasuah dibebaskan.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, rakyat pasti kecewa kerana kesalahan yang dilakukan Najib melibatkan penipuan wang berbilion ringgit.

Menurut Mahathir, tidak mustahil Najib boleh dibebaskan dengan pengampunan diraja.

“Memang ada orang yang berkuasa yang boleh bebaskan Najib, sama ada dia nak bebaskan Najib, itu terpulang kepada dia. Bukan saya yang tentukan.

“Langkah pertama adalah Perdana Menteri mesti kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong memohon untuk membebaskan Najib dan Agong boleh buat apa juga keputusan.

“Tapi kalau kita tanya orang ramai, kalau Najib dibebaskan setelah mencuri berbilion-bilion ringgit, menipu bercakap bohong, orang macam ini dilepas, bebas akan kecewalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Jelajah Sayang Bangsa negeri Perak parti Pejuang di sini hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, perbicaraan selama empat tahun di tiga mahkamah melibatkan sembilan hakim membuktikan Najib bersalah atas tuduhan rasuah.

Menurutnya,  hakim membuat keputusan berasaskan bukti-bukti yang jelas yang ditunjuk di dalam mahkamah.

“Tetapi yang dijawab oleh Najib ialah ini semua tak betul, ini semua bohong kononnya duit yang dia dapat RM2 bilion diberi oleh raja Arab Saudi.

“Bukti yang ada ialah duit itu datang dari 1MDB melalui Jho Low, semua itu ada rekod tapi Najib kata semua ini bohong semua ini menganiaya dia.

 “Kalau ini menganiaya dia, kita tak payah ada mahkamahlah.  Sampai empat tahun bicara, tiga mahkamah, sembilan hakim pendapat tak ada satu pun yang berlainan.

“Mereka bagi pendapat yang sama tapi Najib masih tak iktiraf keputusan mereka,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN