PRU15: Agihan kerusi PN dijangka selesai dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

PRU15: Agihan kerusi PN dijangka selesai dalam masa terdekat

AHMAD Faizal Azumu ketika menyampaikan ucapan pada Himpunan PN Peringkat Negeri Kelantan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kedua PN di Dataran Warisan Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan malam tadi. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Faizal Azumu berkata, bagaimanapun masih wujud pertindihan melibatkan beberapa kerusi Parlimen dan DUN.

Menurutnya, jika pertindihan itu masih berlaku dalam jawatankuasa perundingan, perkara tersebut akan dibawa ke peringkat mesyuarat presiden antara parti-parti komponen PN.

“Pertindihan kerusi sedikit sahaja dan semuanya (perundingan) berjalan dengan baik, saya dapati semua parti dalam PN bersatu hati.

“Apabila keputusan yang dibuat nanti, saya percaya semua akan akur dan patuh kepada keputusan daripada pucuk pimpinan,” katanya pada Himpunan PN Peringkat Negeri Kelantan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kedua PN di Dataran Warisan Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.

Ahli Parlimen Tambun itu memberitahu, seluruh jentera PN sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 jika proses pembubaran Parlimen berlaku dalam masa terdekat.

Katanya, keyakinan itu bersandarkan kepada usaha dan persiapan ke arah pilihan raya yang telah dilakukan oleh PN ketika ini.

Mengulas mengenai pemilihan calon, Ahmad Faizal berkata, PN akan memberikan peluang kepada semua golongan bermula daripada pemuda, wanita, agamawan, berpengalaman dan ahli korporat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN