Projek pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang patuhi syarat, prosedur

Projek Bandar Aeroangkasa Pahang patuhi syarat, prosedur

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan segala syarat dan prosedur ditetapkan dalam merealisasikan projek pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang, yang melibatkan komponen pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan projek bercampur dipatuhi.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 15 Julai 2020, kerajaan negeri bersetuju kajian komprehensif terhadap cadangan pembinaan bandar aeroangkasa ini dilaksanakan.

Cadangan projek ini katanya, telah dibentangkan dan mendapat perakuan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-39 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 21 Oktober tahun lalu. 

“Pembangunan projek ini akan dibangunkan di atas tanah seluas 5,042 hektar di kawasan Gebeng secara usahasama, iaitu melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), dengan konsep pembangunan adalah secara Build-Operate-Own (BOO).

“Pengoperasian lapangan terbang ini akan dikendalikan oleh syarikat sepenuhnya melalui cadangan pembentukan syarikat tujuan khusus (SPV) iaitu Pahang Airport Berhad,” katanya dalam kenyataan di sini. 

Wan Rosdy berkata, dalam usaha merealisasikan projek ini, satu garis masa telah ditetapkan bagi jangkaan tempoh pembinaan dan jangkaan mula beroperasi, untuk memastikan semua pemegang taruh membuat tindakan dan mematuhi semua syarat pembinaan lapangan terbang, sehingga lah mendapat kelulusan Aerodrome Operator Licence (AOL) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM).

Perancangan garis masa ini katanya, penting kerana projek tersebut merupakan projek berimpak tinggi selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Pahang sebagai Hub Transit Kebangsaan.

“Pembinaan Bandar Aeroangkasa Pahang ini turut mengambil kira faktor hab ekonomi yang lain, kerana ia terletak di Kawasan Industri Gebeng, serta berhampiran dengan Pelabuhan Kuantan dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), serta menjadi pintu masuk utama ke negeri-negeri Pantai Timur.

“Pada 1 Mac lalu, memorandum perjanjian (MoA) telah dimeterai antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan selaku pemilik tanah, Pahang Corporation Sdn. Bhd. sebagai Pengurus dan Penasihat Projek, dan Gading Group Berhad selaku Pemaju Utama bagi cadangan pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan.

“Pemeteraian MoA ini jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri, termasuk berusaha mendapatkan komitmen daripada pemaju utama bagi menjayakan projek ini,” katanya. 

Beliau berkata, dua memorandum persefahaman (MoU) juga telah ditandatangani antara pemaju utama dan rakan strategik pada 6 Julai lalu.

Pihak pemaju utama katanya, sedang dalam proses penyediaan dokumen dan menjalankan kajian yang berkaitan, bagi mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan. 

“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk menjadi sebuah negeri yang mesra pelabur dengan menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif.

“Saya berharap projek ini mendapat sokongan semua pihak, agar lonjakan ekonomi bukan sahaja diterima oleh negeri ini sahaja tetapi, juga negeri lain terutamanya negeri-negeri di Pantai Timur,” katanya. –  UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya