PETALING JAYA: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak akan merugikan negara sebaliknya berperanan membekalkan masyarakat yang berguna dan mampu menyumbangkan kepada pembangunan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, PLKN juga adalah platform terbaik dalam memupuk perpaduan kaum dan integrasi nasional.
Selain itu katanya, program berkenaan juga memainkan peranan penting bagi membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni di kalangan pelatih, sekali gus dianggap pelaburan terbaik untuk masa depan negara.
“Pembangunan manusia bukan penjanaan ekonomi jangka pendek tetapi ekonomi akan terencat jika negara mempunyai rakyat yang tidak dapat membantu kerajaan mengangkat ekonomi negara.
“Yang paling membimbangkan keterlibatan mereka dalam aktiviti meruntuhkan ekonomi negara. Kita juga tidak mahu pembangunan fizikal negara kelas pertama digunakan oleh rakyat kelas ketiga.

“Dalam aspek keselamatan negara, apabila sampai satu peringkat negara kita berdepan situasi yang mencabar, kita perlukan mempunyai rakyat menggunakan pengalaman latihan sanggup mempertahankan negara dengan jiwa dan raga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pendapat yang mengatakan pelaksanaan program PLKN sejak 2004 hanya mendatangkan kerugian kepada negara sebelum ia dimansuhkan pada 2018.
Menurut Abdul Hadi, dalam kes PLKN terdapat kajian keberkesanan oleh sekumpulan pakar penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2010 yang melibatkan hampir 62,000 responden terdiri daripada bekas pelatih, Ibu bapa, majikan dan ketua masyarakat di seluruh negara.
“Keputusan kajian mengenai tahap keberkesanan menunjukkan PLKM dapat memupuk semangat patriotisme sebanyak 87.9 perastua, perpaduan kaum (91.9%), perwatakan positif (80.1%), semangat kesukarelaan (83.5%), cergas, cerdas dan berkeyakinan diri (89.3%),” katanya.
Dalam pada itu katanya, Singapura sudah hampir 60 tahun masih mengekalkan Singapore National Service dan berjalan dengan jayanya selain Brunei juga melaksanakan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).
“Brunei mengambil PLKN Malaysia sebagai model penubuhannya berjalan dengan mantap sejak tahun 2010. Bahkan hampir semua negara di dunia ada program khidmat negara dalam bentuk mengikut keperluan negara mereka masing-masing,” katanya. – UTUSAN










