PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa jika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen serta-merta.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, hampir kesemua komponen parti blok pembangkang itu sudah selesai mengadakan pemilihan dan dalam proses mengadakan siri jelajah di seluruh negara.
“PKR dan DAP sudah selesai mengadakan pemilihan, Parti Amanah Negara (Amanah) tidak perlu adakan pemilihan manakala UPKO akan adakannya tidak lama lagi. Ini menunjukkan tahap kesiapsiagaan kita dalam keadaan baik.
“Kita juga sudah merancang pertahankan kerusi sedia ada dan memenangi semula kerusi yang kita menangi sebelum ini. Malah PH juga akan adakan satu konvensyen serta siri jelajah yang sudah bermula di Selangor untuk menyampaikan maklumat terkini kepada rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju jika PRU15 diadakan buat masa ini kerana menyifatkan kerajaan perlu menyelesaikan dahulu isu-isu semasa dihadapi rakyat.
“Rakyat sedang berdepan banyak isu seperti kos sara hidup, harga barang, Covid-19 dan penyakit influenza. Ini yang patut jadi fokus kerajaan. Kita juga ada isu tuntutan waris Sulu dan isu projek kapal tempur pesisir pantai (LCS).
“Malah, ada beberapa rang undang-undang yang perlu dilaksanakan seperti pendanaan politik dan had tempoh khidmat Perdana Menteri, ini semua ada dalam memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang.
“Jadi, ini bukan masa untuk adakan PRU15, uruskan dulu masalah, cuba lihat apa yang perlu diperbetulkan dan selesaikan. Perdana Menteri juga sedang fokus kepada isu yang ada ketika ini, jadi harapnya yang ada dalam kerajaan berikan kerjasama, lagipun kita masih ada masa sehingga 15 Julai 2023 untuk bubarkan Parlimen. Selesaikan masalah satu persatu,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, PN akan terus menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri namun tetap bersedia menghadapi PRU-15.
“Sehingga kini PN tidak bincang soal penarikan sokongan, bahkan kita mendukung kestabilan politik dalam negara. Keutamaan kami bersama kerajaan memulihkan ekonomi negara, mengutamakan kepentingan rakyat dalam situasi sukar dan kesan Covid-19.
“Tiada sesuatu isu mendesak untuk dibubar segera Parlimen, namun Pas sebagai parti utama mendokong kerajaan bersama dalam PN, kita bersedia sekiranya PRU15 diadakan,” katanya.
Semalam, Ismail Sabri berkata, PRU15 akan diadakan bila-bila masa sekiranya PN bertindak menarik semula sokongan terhadap kerajaan sedia ada.
Katanya, kerajaan sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan termasuk jika berlaku penarikan sokongan berkenaan.
Ini selepas Utusan Malaysia mendedahkan seorang menteri yang didakwa menjadi dalang supaya Bersatu menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.
Kata sumber berkenaan, perkara itu sebaliknya tidak mendapat kata putus daripada ahli Malis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.
Sebelum ini tular mengenai laporan yang mendakwa PN sedang mempertimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri.
Laporan itu mendakwa, pertimbangan tersebut adalah kerana Ismail Sabri tidak menunaikan janji untuk melantik Ahli Parlimen Bersatu sebagai Timbalan Perdana Menteri. – UTUSAN










