PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) membayangkan mengkaji semula perjanjian dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ekoran tindakan Perdana Menteri membatalkan pertemuan dengan pemimpin kanan gabungan itu selain membabitkan tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, namun pihaknya perlu membuat perbincangan lanjut berhubung sebarang tindak balas yang akan dilakukan.
Menurut beliau, perkara itu timbul susulan pertemuan antara Ismail Sabri dan wakil pemimpin kanan PN yang dijadual kelmarin dibatalkan.
Katanya, perjumpaan itu dijadual setelah Ismail Sabri dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara gabungan itu dengan Perdana Menteri.
“Saya pun tidak tahu mengapa dan punca perjumpaan dibatalkan pada saat-saat akhir, bukan kita yang batal tetapi pihak Perdana Menteri.
“Tetapi tengok dulu macam mana respons Perdana Menteri dalam soal ini. Kalau kita mahu buat tindakan lanjut pun kena lihat dahulu adakah perjanjian ini ditepati atau sebaliknya,” katanya.
Perjanjian
Ismail Sabri menandatangani perjanjian dengan PN sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2021 dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri dijanjikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ditanya langkah menarik sokongan sebagai langkah terakhir PN, Dominic berkata, perkara itu bergantung kepada hasil maklum balas untuk melunaskan janji-janji perjanjian tersebut.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhamad Rafi berkata, PN dan Bersatu boleh menekan butang atau menarik sokongan kepada Ismail Sabri sekiranya mereka merasakan perjanjian itu telah dikhianati.
Beliau menegaskan, Perdana Menteri tidak perlu melayani untuk menunjukkan Ismail Sabri seorang pemimpin yang tidak menepati janji.
“Tetapi saya merasakan Bersatu tidak berani tarik sokongan kerana kedudukan mereka dalam kerajaan atas ihsan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sendiri untuk bersama membentuk kerajaan Pusat. Sebab itu mereka dapat kedudukan menteri dan timbalan menteri malah pengerusi syarikat berkaitan kerajaan.
“Buat apa kita ikut janji musuh-musuh kita dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, jadi adalah lebih baik Perdana Menteri tolak sahaja tuntutan mereka ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mengingatkan pemimpin PN supaya tidak menggertak Ismail Sabri, susulan dakwaan pakatan itu sedang menimbang untuk menarik balik sokongan.
Sebaliknya, beliau berkata, PN dicabar berbuat demikian tanpa melakukan sebarang ugutan. – UTUSAN










