PM baca puisi keluarga Malaysia - Utusan Malaysia

PM baca puisi keluarga Malaysia

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan puisi yang dinukilnya sendiri pada Malam Kemuncak Jelajah Puisi Merdeka 2022 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. - UTUSAN/ARIF AIMAN ASROL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam tadi mendeklamasikan puisi bertajuk Keluarga Malaysia sempena Malam Kemuncak Jelajah Puisi Merdeka 2022.

Puisi yang dinukil oleh Ismail Sabri itu terkandung dengan mesej tersirat mengenai semangat perpaduan di dalam rakyat Malaysia yang terdiri dengan pelbagai bangsa dan agama.

Ismail Sabri mengambil masa dua minit 40 saat untuk menyampaikan puisi tersebut, dilihat beliau sebak menyampaikan puisi yang penuh dengan seruan untuk rakyat supaya sentiasa memupuk semangat perpaduan dan menjaga hubungan sebagai keluarga besar tanpa mengira perbezaan.

Program puitis yang dipenuhi dengan semangat cinta pada negara itu dianjurkan bersama oleh pihak Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) dengan kerjasama Institut Kepimpinan Kamarzaman (IKK), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Hotel Royale Chulan.

Sebaik sahaja tamat penyampaian puisi sempena bulan merdeka itu, Ismail Sabri turut melancarkan koleksi Lagu Puisi Keluarga Malaysia.

Berikut adalah puisi yang dibaca oleh Ismail Sabri:

Keluarga Malaysia,
Kupetik tempa falsafah ini,
Dari bumi bertuah,
Harmoninya terbina,
Kejayaannya sempurna,
Dari bangsa,
Yang mengenal jalur budinya.

Keluarga Malaysia,
Dengan dada terbuka fikiran menerima,
Kita mencungkil kesamaan,
Tidak menggali perbezaan,
Persis selembar benang,
Kita kait tenun,
Menjadi sehelai kain,
Buat hamparan sempurna,
Sebuah keluarga Malaysia
Terjalin utuh,
Terangkum kebersamaan,
Penuh syukur.

Keluarga Malaysia,
Sekian lama terbina,
Atas kepercayaan keyakinan,
Semua bangsa semua etnik,
Semua agama semua kepercayaan,
Tidak menjadi tembok dan dinding,
Yang menghalang,
Lahirnya keluarga Malaysia sejati.

Keluarga Malaysia,
Dengan penuh kasih sayang,
Menganyam kesejahteraan kebahagiaan
Kerna kita sebuah keluarga besar.

Keluarga Malaysia,
Mari kita pertahankan,
Payung toleransi,
Hormat menghormati,
Dengan jati diri,
Cintakan negara,
Cintakan pertiwi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN