‘Pilih kerusi Parlimen atau DUN’

Pilih kerusi Parlimen atau DUN

parlimen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trend pemimpin politik mewakili dua kerusi secara serentak iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dapat dilihat dalam beberapa siri pilihan raya umum (PRU) sebelum ini perlu dihentikan bagi membolehkan mereka fokus kepada tanggungjawab terhadap rakyat.

Masakan tidak, jika mereka mewakili kerusi Parlimen dan dalam masa sama ada tanggungjawab di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), itu membuatkan pemimpin berkenaan sukar memberikan fokus kepada rakyat, apatah lagi jika dilantik dalam pelbagai jawatan di peringkat struktur Parlimen, Kabinet atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, dua kerusi berbeza itu mempunyai tanggungjawab yang besar dan ia perlu digalas oleh pemimpin berbeza.

Menurut beliau, trend mewakili dua kerusi secara serentak tidak wajar diteruskan pada PRU akan datang kerana melibatkan kepentingan pengundi dan dikhuatiri akan ‘mengorbankan’ keperluan masyarakat sekiranya pemimpin gagal untuk memberi fokus.

“Kalau boleh calon yang bertanding di Parlimen tak perlu bertanding di DUN kerana tanggungjawab di Parlimen sahaja sudah cukup besar apatah lagi di DUN yang memerlukan pemimpin sentiasa berada dekat dengan masyarakat setempat.

DR. MOHD. IZANI MOHD. ZAIN

“Mungkin dulu trend ini terjadi atas faktor populariti dan faktor ketokohan seseorang pemimpin sehingga diperlukan di negeri tetapi bagi saya trend itu tidak wajar diteruskan kerana tanggungjawab seorang pemimpin itu besar, sukar untuk mereka menjalankan dua kewajipan dalam satu masa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, pemisahan dua kerusi berbeza itu akan memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin baharu menonjolkan kepimpinan mereka dan secara tidak langsung membina legasi untuk parti yang diwakili.

Jelas beliau, sekiranya trend itu kekal diteruskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, ia seolah-olah menafikan peluang pemimpin lain yang turut mampu menggalas tanggungjawab di salah satu kerusi berkenaan.

“Saya rasa ini mungkin boleh dipertimbangkan oleh setiap parti, sama ada perlu pemimpin itu hanya fokus pada satu kerusi sahaja. Kita tidak nampak sebarang keperluan atau kepentingan untuk seseorang memimpin mewakili dua kerusi tersebut.

“Kalau dulu mungkin ada, trendnya begitu kerana ketika itu jumlah individu yang berwibawa dan layak untuk menjadi pemimpin tidak seramai hari ini, iaitu pemimpin-pemimpin muda, muka baharu. Jadi mereka perlu diberikan peluang,” katanya.

Tambahnya, terdapat wakil rakyat yang memenangi dua kerusi tersebut meletakkan pegawai-pegawainya untuk memantau dan menyelesaikan sebarang masalah melibatkan masyarakat di kawasannya.

“Kehadiran dan keberadaan wakil-wakil rakyat ini penting, mereka perlu turun padang kerana kehidupan rakyat ketika ini semakin susah dan rumit jadi perlunya wakil rakyat sentiasa ada di kawasan.

“Kita khuatir sekiranya dua kerusi diwakili oleh pemimpin sama, beliau tidak akan mempunyai masa. Akhirnya akan beri tugas kepada pegawai dan dia sendiri tidak tahu apa masalah-masalah rakyat setempat sekiranya tidak dibentangkan laporan, dia sendiri tidak bersama rakyat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN