KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) bersama-sama Pakatan Harapan (PH) akan tetap meneruskan perjuangan melawan rasuah yang dianggap sudah menjadi ‘barah’ di negara ini.
Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, apa yang berlaku di dalam sistem perundangan negara baru-baru ini membuka mata rakyat dan membolehkan mereka menilai siapa sebenarnya bersungguh-sungguh melawan rasuah.
Menurutnya, ia bukan berkaitan sabitan kes ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata tetapi lebih terarah kepada isu rasuah yang kian berleluasa di dalam negara ini.
“Rasuah dalam negara kita sudah menjadi sistemik. Bermakna ia sudah menjadi perkara biasa dan Najib adalah mangsa kepada sistemik yang membuka ruang kepada kes-kes rasuah berlaku.
“Saya rasa peluang untuk kita membetulkan keadaan bukan sekadar dengan perasuah-perasuah ditangkap tetapi ia akan mengambil satu nafas panjang untuk merungkai sistemik rasuah kepada sistem yang lebih berintegriti,” katanya selepas menyampaikan amanat kepada ahli-ahli Amanah Kelantan pada program Ceramah Kelantan Baru di Kubang Kerian, di sini semalam.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut memuji ketegasan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam mengendalikan prosiding rayuan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
“Beliau tahu dan faham risiko tinggi di sebalik tugasnya sebagai Ketua Hakim Negara. Beliau tetap tegas mengekalkan prinsip kehakiman dan menjatuhkan hukuman tanpa rasa takut atau memihak kepada sesiapa.
“Ia adalah satu perkara yang sangat kita sanjungi dan begitulah sepatutnya seorang hakim lebih-lebih lagi ketua hakim bertindak dalam kes-kes berprofil tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berpendapat sabitan kes ke atas Najib boleh membawa perubahan terhadap landskap politik serta pentadbiran negara.
Katanya, ia akan menjadi teladan kepada pentadbir kerajaan pada masa depan sama ada daripada Barisan Nasional (BN), PH atau Perikatan Nasional (PN) agar mempunyai azam kuat membaiki pentadbiran.
“Bagi saya ia merupakan satu lonjakan besar dan parti pentadbir selepas ini akan memastikan kerajaan dibarisi pemimpin-pemimpin bertanggungjawab, amanah dan tidak sewenang-wenangnya merompak harta rakyat,” jelasnya. – UTUSAN