Peter dapat tangguh sabitan kesalahan palsu dokumen - Utusan Malaysia

Peter dapat tangguh sabitan kesalahan palsu dokumen

PETER ANTHONY hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi keputusan permohonan untuk menggantung sabitan dan hukuman terhadapnya. - UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Peter Anthony atas kesalahan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), lapan tahun lalu.

Peter selaku pemohon memfailkan notis usul pada 11 Jun lalu agar sabitan tersebut ditangguhkan atas alasan sabitan salah itu akan menjejaskan peluangnya menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dengan keputusan itu, sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Peter selepas didapati bersalah atas kesalahan itu, digantung sementara menunggu rayuannya didengar di Mahkamah Tinggi.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan Peter selepas meneliti dan menimbang afidavit yang dikemukakan, hujahan bertulis dan lisan serta otoriti yang difailkan oleh kedua-dua pihak pemohon dan responden.

Mahkamah berpuas hati dengan alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan yang mewakili Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Azura turut memerintahkan jaminan terhadap Peter dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM80,000 dengan seorang penjamin manakala syarat-syarat tambahan yang dikenakan sebelum ini dikekalkan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam S. Devanandan yang mewakili Peter agar baki jaminan dibayar sebelum atau pada Rabu ini.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi menetapkan 19 September ini bagi pengurusan kes rayuan Peter untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

Tarikh itu ditetapkan kerana pihak perayu dan pendakwaan masih belum menerima rekod rayuan dan alasan penghakiman daripada Mahkamah Sesyen.

Minggu lalu, Devanandan menghujahkan, permohonan anak guamnya untuk menggantung pelaksanaan sabitan dibuat dengan alasan yang sama seperti dalam kes Datuk Seri Najib Razak iaitu untuk bertanding pada PRU15 yang dikatakan alasan keadaan istimewa mengikut Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah.

Tambah Devanandan, jika permohonan bagi penggantungan sabitan salah Peter tidak dibenarkan, ini menyebabkan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu hilang kelayakan bertanding pada PRU15 dan ia menyebabkan prejudis kepada Peter.

Menurut laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mana-mana individu yang telah disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah, dihukum penjara minimum satu tahun atau didenda melebihi RM2,000 dan masih belum menerima pengampunan atau dibatalkan sabitannya tidak boleh menjadi calon pilihan raya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika membantah permohonan itu berhujah, notis usual penggantungan sabitan salah yang difailkan oleh Peter adalah tidak bermerit dan bertentangan dengan undang-undang.

Hujah beliau, Peter yang merupakan pemohon telah menjalankan sebahagian daripada hukumannya dengan membayar denda RM50,000 yang dikenakan terhadapnya pada 26 Mei lalu.

Beliau berhujah, atas sebab itu, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang mensabit dan menjatuhkan hukuman tersebut juga dianggap telah memenuhi fungsi kehakimannya dan dianggap sebagai functus officio (isu yang telah diputuskan secara muktamad).

Sehubungan itu, beliau memohon permohonan itu ditolak kerana ia adalah cubaan semula selepas gagal kali pertama.

Tambah Wan Shaharuddin, permohonan Peter hanya boleh dibenarkan jika terdapat kesilapan tersalah tulis (clerical error) mengikut Seksyen 278 Kanun Tatacara Jenayah tetapi dalam kes ini, tiada sebarang kesilapan berlaku.

Pada 26 Mei lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan Peter telah membayar denda tersebut namun tiada sebarang perintah dibuat berhubung sabitan salah.

Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Engineering disabit memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.

Menurut pertuduhan, surat berkenaan kononnya menyatakan UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering yang dimiliki oleh tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya