Permohonan peguam dapatkan pernyataan saksi diputuskan esok - Utusan Malaysia

Permohonan peguam dapatkan pernyataan saksi diputuskan esok

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghadapi perbicaraan kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan harta. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan esok bagi memutuskan permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan pernyataan saksi utama pendakwaan yang dirakam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan demikian selepas mendengar penghujahan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Ahli Parlimen Muar itu dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Gobind mengemukakan permohonan itu selepas mahkamah menolak permohonannya untuk mencabar kredibiliti saksi pendakwaan ke-13, Rafiq Hakim Razali pada perbicaraan kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan harta yang dihadapi oleh Syed Saddiq.

Terdahulu Gobind berhujah, pernyataan yang dirakam oleh SPRM itu penting kerana wujud dua senario bercanggah yang diberikan oleh Rafiq yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung kutipan dana untuk tujuan kempen Ahli Parlimen Muar itu.

Gobind berhujah, Rafiq memberitahu pegawai penyiasat SPRM bahawa wang dalam akaun Armada adalah hasil kutipan dana orang ramai oleh Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar.

Bagaimanapun, ketika memberi keterangan lisan di mahkamah, saksi pendakwaan ke-13 itu menyatakan dana itu dikutip untuk kegunaan Armada.

“Kami mempunyai `firasat’ lebih daripada mencukupi bahawa wujud percanggahan dalam keterangannya namun kami tidak dibekalkan dengan dokumen berkenaan, jadi bagaimana untuk mendapatkan perbicaraan yang adil,” persoal Gobind.

Hujah Gobind, Rafiq mungkin berbohong di mahkamah dan pihak pendakwaan tidak wajar memberi alasan bahawa mereka mempunyai pernyataan yang dirakam oleh SPRM namun tidak boleh memberikannya.

Bagaimanapun, Wan Shaharuddin berhujah agar permohonan itu ditolak atas alasan pihak pembelaan gagal meyakinkan mahkamah bahawa mereka telah memenuhi syarat yang digariskan di bawah Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah.

“Pihak pembelaan sebenarnya berhasrat memancing maklumat daripada pernyataan yang direkodkan oleh SPRM selepas permohonan terdahulu ditolak oleh mahkamah.

“Kita sepatutnya sudah boleh menyudahkan keterangan saksi pendakwaan ini, namun perbicaraan seperti tiada kesudahan,” hujah beliau.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan pasukan pembelaan untuk mencabar kredibiliti Rafiq selaku saksi utama pendakwaan selepas berpuas hati tiada percanggahan yang material di antara keterangan lisannya dengan percakapan yang direkodkan oleh SPRM.

Azhar berpendapat, hanya wujud perbezaan kecil yang tidak terjumlah kepada perbezaan material atau percanggahan yang serius yang memerlukan prosiding mencabar kredibiliti saksi diteruskan.

Pada 25 Julai lalu, beliau mengarahkan pasukan pendakwaan menyerahkan kepada mahkamah salinan rakaman percakapan Rafiq yang direkodkan oleh SPRM pada 2020 lalu.

Syed Saddiq sedang dibicarakan terhadap pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya