Penjawat awam rugi setengah juta diperdaya Macau Scam - Utusan Malaysia

Penjawat awam rugi setengah juta diperdaya Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seorang penjawat awam mengalami kerugian RM429,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam sekitar bulan lalu.

Menyedari ditipu, wanita berusia 50 tahun itu membuat laporan polis di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pada mulanya, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa sebagai pegawai Pos Malaysia Berhad.

AHMAD MOHSIN MD. RODI

Katanya, wanita itu diberitahu terdapat satu bungkusan mengandungi barang terlarang iaitu satu keping kad pengenalan dan lima keping kad bank didaftarkan atas namanya.

“Mangsa bagaimanapun menafikan hal tersebut dan diminta untuk membuat laporan polis sebelum disambungkan ke Balai Polis Sabah.

“Selepas disambungkan ke Balai Polis Sabah, mangsa dimaklumkan bahawa nama dan nombor kad pengenalan wanita itu terlibat dalam kes pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa telah diminta membuat beberapa transaksi bagi menyelesaikan kes tersebut ke beberapa akaun bank yang diberikan sindiket.

Menurut Ahmad Mohsin, terdapat 10 transaksi dilakukan bermula 23 Jun hingga 30 Julai lalu membabitkan jumlah RM429,000.

Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Arau membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sedang giat mengesan suspek terlibat.

“Modus operandi sindiket adalah menghubungi mangsa dan menyamar sebagai penguatkuasa, institusi kewangan atau syarikat perkhidmatan dengan memperdaya mangsa mempunyai tunggakan cukai, pinjaman bank dan lain-lain.

“Mangsa kemudian akan diugut ditangkap serta didakwa di mahkamah dan dilarang berkongsi maklumat panggilan dengan sesiapa sahaja sebelum suspek meminta mangsa menyerahkan maklumat bank atau memindahkan wang ke akaun tidak dikenali bagi tujuan siasatan,” jelasnya.

Seterusnya. Ahmad Mohsin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah panik serta percaya panggilan sedemikian dan boleh menyemak nombor telefon atau nombor akaun bank menerusi aplikasi semak Mule Account milik Polis Diraja Malaysia sebelum membuat sebarang transaksi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN