Penguat kuasa MBJB cedera dipukul selepas saman kereta

Penguat kuasa MBJB cedera dipukul selepas saman kereta

MANGSA menunjukkan luka akibat diserang dua suspek akibat tidak berpuas hati disaman kerana kenderaan menghalang lalu-lintas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) cedera di bahagian kepala akibat dipukul dan ditolak jatuh ke jalan raya di Jalan Sutera, Taman Sentosa di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi, mangsa berusia 23 tahun itu dipercayai dicederakan dua suspek selepas mengeluarkan saman terhadap mereka.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketika kejadian, anggota penguat kuasa tersebut mengeluarkan saman ke atas kenderaan suspek yang didapati diparkir dalam keadaan menghalang lalu-lintas.

Berang atas tindakan anggota penguat kuasa tersebut, suspek warga tempatan berusia 42 dan 47 tahun yang tidak berpuas hati bertindak menyerang mangsa dan berlaku pergelutan.

“Selepas suspek memukul anggota penguat kuasa MBJB itu sehingga cedera, kedua-duanya kemudian melarikan diri.

“Walau bagaimanapun, tindakan pantas anggota kereta peronda polis yang tiba di lokasi kejadian berjaya menangkap kedua-dua suspek yang ketika itu sedang bersembunyi dalam kereta mereka kira-kira 500 meter dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketika ditangkap, polis mendapati seorang daripada suspek cedera di bahagian muka dipercayai akibat bergelut dengan mangsa dan menerima dua jahitan.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kedua-dua suspek itu menyerang anggota penguat kuasa berkenaan adalah kerana tidak berpuas hati atas saman MBJB yang dikeluarkan kerana kesalahan menghalang lalu lintas,” jelasnya.

Suspek akan direman bagi siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya