fbpx

Penganggur tidak mengaku salah miliki dadah dalam lokap mahkamah

MUHAMMAD Ikraam C. Manshor (kiri) dibawa Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis dan heroin dalam lokap Mahkamah Rembau, pada bulan lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.

KUALA PILAH: Penganggur tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis dan heroin dalam lokap Mahkamah Rembau, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Ikraam C. Manshor, 30, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, pada 26 Julai lalu, kira-kira pukul 11 pagi di lokap Mahkamah Rembau, didapati dalam milikan tertuduh dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 54.47 gram.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara seumur hidup atau satu tempoh tidak kurang dari lima tahun dan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada tarikh, masa dan lokasi yang sama didapati dalam milikan tertuduh dadah berbahaya iaitu heroin dengan berat 3.97 gram.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta yang sama.

 Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan dan dibenarkan dan kes disebut semula pada 27 September ini bagi laporan kimia. –UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!