Pembantu stor lesap RM15,000 diperdaya sindiket Macau Scam

Pembantu stor lesap RM15,000 diperdaya sindiket Macau Scam

MOHD. SHOKRI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Seorang pembantu stor kerugian RM15,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam  yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu, lelaki berusia 26 tahun berkenaan pada mulanya dihubungi dengan nombor tidak dikenali melalui panggilan telefon.

Katanya, suspek memperkenal dirinya sebagai pegawai LHDN dan memaklumkan nombor pengenalan diri dan telefon mangsa digunakan untuk pendaftaran sebuah syarikat.

“Mangsa menafikan perkara tersebut sebelum disambungkan kepada seorang pegawai ‘polis’ di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Melaka bagi melakukan laporan salah guna nama dan nombor kad pengenalan mangsa.

“Pegawai polis yang menyamar itu memaklumkan syarikat didaftarkan atas nama mangsa terlibat kes pengedaran dadah dan pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shokri, mangsa diminta memindahkan wang simpanan daripada semua akaun bank miliknya ke satu akaun diberikan bagi tujuan audit.

Katanya, mangsa yang akur dengan permintaan tersebut membuat dua kali transaksi dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM15,000.

Katanya, selepas pemindahan wang dilakukan suspek mematikan telefon menyebabkan pemuda itu gagal menghubungi semula suspek.

“Hasil semakan melalui laman sesawang semakmule.rmp.gov.my mendapati terdapat satu laporan polis dibuat ke atas nombor akaun bank digunakan sindiket sebelum ini ke atas mangsa lain.

“Modus operandi sindiket ini adalah membuat panggilan telefon dengan menyamar sebagai pegawai LHDN dan polis secara rambang. Apabila mangsa mula percaya, sindiket menjerat mangsa memindahkan semua wang ke akaun diberikan bagi tujuan siasatan dan audit,” katanya.

Tambahnya, masyarakat diminta memuat turun aplikasi semak Mule Account dari Google Playstore bagi menyemak nombor telefon dan akaun yang disyaki ketika berurusan ketika dalam talian.

Selain itu, orang ramai juga boleh membuat rujukan dan semakan menerusi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 selain menyalurkan maklumat menerusi aplikasi WhatsApp CCID Infoline di talian 013-211 1222.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya