KUALA LUMPUR: Hari ini, Mahkamah Persekutuan akan mula mendengar rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak berhubung sabitan salah dan hukuman penjara serta denda yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Tiada apa yang boleh dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu selain membuat rayuan penangguhan buat kesekian kali atau memfailkan semakan terhadap keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan kelmarin.
Menurut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995, keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan boleh disemak namun tertakluk kepada beberapa syarat yang wajib dipenuhi.
Semakan pula hanya boleh dibuat bagi keputusan yang muktamad dan menemui pengakhirannya.
“Keputusan panel menolak permohonan untuk menanggguhkan pendengaran rayuan itu tidak boleh disemak kerana ia permohonan interlokutori dan bukan sesuatu yang muktamad.
“Bagaimanapun, bekas Presiden UMNO itu mungkin boleh memfailkan semakan berhubung keputusan mahkamah yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti baharu kerana keputusan itu telah ada pengakhirannya,” kata seorang pengamal undang-undang.
Walaupun Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusan tersebut sendiri bagi mencegah ketidakadilan dan salah guna proses mahkamah, umumnya ini hanya akan dilaksanakan dalam keadaan luar biasa.
Kelmarin, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan peguam bela Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan akhir tersebut atas alasan mereka memerlukan lebih masa untuk meneliti ribuan dokumen membabitkan kes itu.
Namun, Hakim Tengku Maimun ketika membaca penghakiman ringkasnya menyatakan, keadilan yang dilewatkan adalah keadilan yang dinafikan.
“Walaupun mengetahui tarikh perbicaraan telah ditetapkan lebih awal, perayu (Najib) masih lagi menamatkan perkhidmatan peguam lama dan melantik peguam baharu. Itu adalah haknya tetapi perayu tidak sepatutnya datang ke mahkamah dan menyatakan bahawa peguamnya tidak bersedia untuk menjalankan kes,” kata Hakim Tengku Maimun.
Pada hari sama (16 Ogos), panel hakim yang sama turut menolak permohonan Najib untuk memasukkan tujuh set dokumen antaranya berkaitan hakim bicara kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan).
Permohonan memasukkan bukti baharu itu ditolak atas alasan bukti baharu yang dimohon tidak relevan dengan rayuan tersebut.
Prosiding rayuan yang sebelum ini ditetapkan sembilan hari akan menentukan untung nasib Najib sama ada keputusan disabitkan bersalah berhubung penyelewengan RM42 juta dana dana milik SRC dikekalkan atau sebaliknya.
Mahkamah Tinggi sebelum ini mensabitkan Najib dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tujuh kesalahan menyeleweng dana syarikat tersebut dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan dengan ikat jamin sebanyak RM2 juta berserta dua penjamin.
Pada 4 Julai 2018, Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad. – UTUSAN










