Pas tolak kerjasama dengan PH - Takiyuddin

Pas tolak kerjasama dengan PH – Takiyuddin

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berbeza pandangan segelintir pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang mahu kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH), sebaliknya Pas pula secara tegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan pakatan pembangkang itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian semalam dan jelas mengatakan pihaknya tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan PH mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuklah konsep ‘khemah besar’.

Katanya lagi, Pas tetap mengutamakan konsep Penyatuan Ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politiknya.

Pas secara tegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU15, termasuklah cadangan konsep ‘khemah besar’.

“Kita amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan Bumiputera kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia.

“Pas mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15 demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari sewaktu Konvensyen PN berkata, pertembungan satu lawan satu ramuan terbaik untuk kemenangan gabungan parti itu pada pilihan raya umum akan datang kerana bimbang jika perlawanan tiga penjuru mengulangi episod kekalahan PRU14.

Sebaliknya Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan pihaknya, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU15 adalah Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan kerajaan negeri-negeri diterajui oleh Pas tidak akan membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri masing-masing lebih awal dari Mac 2023 di atas dasar buat masa ini penumpuan lebih perlu diberikan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama di bidang perekonomian dan kesihatan.

“Perkara-perkara di atas akan turut diberikan tumpuan semasa Muktamar Tahunan Pas Ke-68 yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah pada 3 dan 4 September ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×