Pas kecewa penganjuran konsert hiburan melampau - Utusan Malaysia

Pas kecewa penganjuran konsert hiburan melampau

ASRUL AIMRAN ABD. JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemuda Pas negeri kecewa dengan penganjuran konsert artis luar negara di Bukit Jalil pada 18 Ogos lalu yang dicemari pendukung lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bagi menyemai imej buruk khususnya buat golongan muda.

Ketuanya, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, lebih menyedihkan, situasi tersebut berlaku ketika Malaysia baharu sahaja keluar daripada pasca pandemik Covid-19 dan bakal menyambut Hari Kebangsaan tidak lama lagi.

Menurutnya, kekecewaan ini bukan hanya dirasai oleh Pemuda Pas namun turut melibatkan semua pihak yang sayangkan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Islam tidak menghalang hiburan namun konsep hiburan perlu dikawal supaya tidak melanggar hukum syarak yang digariskan dalam agama ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Asrul Aimran, Pas sejak dahulu sememangnya komited menentang hedonisme yang merupakan satu budaya menyimpang daripada ajaran Islam.

Menurutnya, garis panduan hiburan dalam Islam perlu disebarkan dan dijadikan rujukan oleh pihak penganjur bagi memastikan budaya hedonisme ini dapat dikawal dengan tegas untuk mengelakkan generasi akan datang menjadi semakin rosak.

“Pemuda Pas Perlis juga menyeru agar budaya menjadikan konsert yang bercirikan hedonisme segera dihentikan di bumi Malaysia yang kita cintai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya