KUCHING: Polis Sarawak berjaya merampas dadah bernilai RM65,000 dan 358 individu dalam satu operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Sarawak menerusi Op Tapis Khas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata seramai 352 warga tempatan dan enam warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Operasi yang diterajui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Sarawak itu dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (NADA) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari 27 hingga 29 Julai yang lalu.
Katanya, suspek yang ditahan berusia antara 17 hingga 59 tahun itu terdiri daripada 330 lelaki dan 28 wanita.
“Tangkapan itu adalah hasil daripada 158 serbuan yang dilakukan di seluruh negeri dengan majoriti daripadanya diadakan berhampiran kawasan perumahan, hutan dan ladang.
“Tiga daripada serbuan dilakukan di sekatan jalan raya di Sibu, Serian dan Saratok, yang membawa kepada penahanan 15 lelaki yang didapati positif dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.
Tambahnya lagi, pihak polis turut menahan empat tokan tempatan (pengedar dadah) berusia antara 27 dan 47 tahun, yang akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Mereka juga telah mengenal pasti lapan penagih tegar dan tindakan akan diambil mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Operasi selama tiga hari itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM69,618.50 terdiri daripada 131.47g syabu, 1.85g ganja, 1.5 liter air ketum dan 34 pokok ganja,” ujar beliau.
Pada masa yang sama Azmad turut mendedahkan daerah yang mempunyai nilai rampasan dadah tertinggi ialah Sibu dengan RM56,420, diikuti Kuching RM4,970.50 dan Miri RM4,576.
Dalam operasi itu, dua kereta di Sibu dan Bintulu bernilai RM120,000, dirampas.
“Sebanyak 309 kertas siasatan telah dibuka sepanjang operasi bermula 27 hingga 29 Julai lalu.
“Hanya 23 daripada mereka (tujuh peratus) telah didakwa di mahkamah manakala selebihnya masih dalam siasatan,” kata Azman.
Dari Januari hingga 31 Julai, NCID Sarawak telah menahan seramai 5,491 individu, merampas pelbagai dadah bernilai RM9.08 juta dan merampas harta benda bernilai RM1.91 juta. -UTUSAN










