KUALA TERENGGANU: Jumlah tangkapan ikan di perairan Terengganu antara paling banyak di negara ini, namun harga ikan di negeri ini lebih mahal berbanding negeri-negeri lain.
Ia berlaku apabila kebanyakan nelayan terpaksa mendaratkan tangkapan mereka di pelabuhan perikanan Tok Bali, Kelantan serta Kuantan, Pahang ekoran kesukaran mendaratkan ikan di negeri sendiri disebabkan muara sungai dan pelabuhan perikanan yang cetek.
Hasil laut yang didaratkan di negeri-negeri jiran itu kemudian dibawa balik ke negeri ini menerusi laluan darat menggunakan lori sebelum dijual di dengan harga lebih mahal.
Antara muara sungai yang cetek ialah Sungai Merang dan Sungai Setiu di Setiu, Sungai Kuala Ibai di sini dan Sungai Merchang, Marang manakala pelabuhan perikanan pula di Chendering.
Pada masa sama, jumlah pendaratan ikan di negeri ini direkodkan mula berkurangan sejak beberapa tahun lalu.
Statistik pendaratan ikan yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Terengganu menunjukkan sebanyak 47,268.86 tan metrik dilabuhkan pada 2017, 41,730.24 tan metrik (2018), 40,454.23 tan metrik (2019), 37,227 tan metrik (2020) dan 31,123 tan metrik (2021).
Seorang nelayan, Ngah Othman, 68, dari Chendering berkata, nelayan tiada pilihan tempat untuk mendaratkan hasil tangkapan apabila bot tidak dapat memasuki muara sungai dan pelabuhan perikanan terutamanya ketika air surut.
Terkesan
Menurutnya, pemilik bot laut yang paling terkesan setelah tidak dapat menggunakan kemudahan pelabuhan yang disediakan untuk mendaratkan hasil tangkapan sehingga terpaksa didaratkan di Tok Bali dan Kuantan.
“Pemilik bot khususnya bot laut dalam terpaksa mendapatkan kebenaran Jabatan Perikanan untuk mendaratkan ikan di pelabuhan di luar negeri ini.
“Keadaan tersebut menyebabkan harga ikan dijual di negeri ini mahal,” ujarnya.
Zulkifli Man, 56, dari Chendering berkata, masalah muara sungai dan pelabuhan perikanan cetek sudah lama dan tidak sepatutnya dibiarkan sehingga menyusahkan nelayan.
“Masalah itu bukan sahaja dihadapi nelayan laut dalam, malah nelayan-nelayan pantai dan dengar mahu dibaiki nanum belum nampak apa-apa,” ujarnya.
Abdullah Hussain, 55, dari Marang pula berkata, bot nelayan yang keluar dan masuk di muara sungai berhadapan dengan risiko karam akibat terlanggar beting pasir kerana cetek.
Menurutnya, pemilik bot terlibat terpaksa menanggung kerugian sekiranya bot mereka karam di muara sungai.
“Saya pernah mengalami detik cemas apabila bot dinaiki bersama beberapa nelayan lain nyaris karam selepas terlanggar benting pasir di muara Sungai Marang dalam kejadian empat tahun lalu,” ujarnya.- UTUSAN










