Najib dedah aset tambahan RM4.49j - Utusan Malaysia

Najib dedah aset tambahan RM4.49j

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan aset tambahan berjumlah lebih RM4.49 juta sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Antara yang disenaraikan dalam afidavit tambahan yang difailkan pada 20 Julai lalu ialah rumah dan tanah di Pekan, Pahang serta beberapa kenderaan mewah termasuk sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Pada 23 Mac lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan SRC International Sdn. Bhd. dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn. Bhd. untuk mengenakan injunksi Mareva terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

SRC International merupakan syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Injunksi Mareva merupakan perintah sementara yang mengekang mana-mana individu daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes sesuatu kes saman sivil.

Selain tidak boleh mengalih, melupus, mengendali atau mengurangkan nilai asetnya di dalam dan di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta, Najib juga perlu mendedahkan secara bertulis aset beliau di dalam atau di luar Malaysia bagi jumlah yang sama.

Bagaimanapun, Najib dibenarkan untuk mengeluarkan dan membelanjakan wang daripada sebuah akaun bank atau sumber lain tidak melebihi RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan guaman.

Menurut afidavit tambahan tersebut, Najib menyenaraikan tiga buah unit kediaman termasuk satu unit apartment di Genting Highlands, keseluruhannya bernilai RM280,000.

Turut disenaraikan ialah empat bidang tanah di Bentong dan Pekan, Pahang berjumlah RM180,000, lima kenderaan mewah Mercedes Benz dan Bentley yang mana empat daripadanya adalah hadiah daripada besannya dari Kazakhstan, sebuah motosikal Honda EX5 bernilai RM2,000 dan sebuah motosikal Kawasaki ZG yang juga merupakan hadiah.

Najib turut mendedahkan bahawa beliau hanya mempunyai RM1.24 juta dalam akaun peribadinya dan RM2.5 juta dalam Amanah Saham Bumiputeranya.

Dalam afidavit yang difailkan pada 24 April lalu, Najib menafikan bahawa beliau mempunyai aset bernilai RM42 juta.

Sementara itu peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menarik balik permohonan untuk menangguhkan kes sivil tersebut.

“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan untuk penangguhan prosiding tetapi hari ini kami telah menarik balik permohonan tersebut.

“Ini kerana kes jenayah (membabitkan) SRC International telah ditetapkan untuk bicara (rayuan akhir) pada 15 Ogos ini. Jadi isu bahawa kes saman sivil akan dijalankan sebelum kes jenayah dimuktamadkan tidak lagi menjadi isu,” katanya.

Tambah Muhammad Farhan, Hakim Amarjeet Singh Serjit Singh membenarkan penarikan balik permohonan tersebut tanpa sebarang kos dan pihaknya perlu memfailkan pembelaan dalam tempoh masa dua bulan.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Oktober ini.

Pada 7 Mei 2021, SRC International dan Gandingan Menteri memfailkan writ saman terhadap Najib mendakwa bekas Perdana Menteri itu telah melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.

SRC juga mendakwa Najib dalam kapasitinya selaku perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC ketika itu bertindak secara tidak jujur dalam membantu bekas pengarah SRC dan bekas pengarah GMSB dalam melanggar pelbagai kewajipan statutori dan melakukan pecah amanah apabila gagal untuk memeriksa dengan pihak Bank AmIslamic mengenai jumlah penyelewengan yang dimasukkan ke dalam akaun-akaun bank Najib.

Oleh itu, plaintif antara lain menuntut deklarasi bahawa plaintif berhak mengikuti dan mengesan wang RM42 juta itu dan menuntut hak milik ekuiti ke atas wang tersebut atau sebarang harta yang diperoleh Najib dengan menggunakan wang berkenaan selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya