ALOR SETAR: Pas tidak menerima sebarang usul yang menjurus ke arah menghentikan kerjasama dengan UMNO untuk dibahaskan oleh perwakilan pada Muktamar ke-68 parti itu, bulan depan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, meskipun belum memuktamadkan usul yang akan diterima tanpa bahas atau usul yang akan dibahas kelak, namun isu mengenai Muafakat Nasional (MN) dijangka antara yang tidak terlepas untuk disentuh.
“Antaranya memang dibangkitkan isu MN, tetapi tak lebih daripada untuk menekankan perkara berkaitan penyatuan ummah, setakat yang saya dengar tidak ada (usul) yang bercanggah dengan pendirian Pas yang jelas penyatuan ummah bukan hanya terhad Pas-UMNO tetapi parti lain yang ada peranan sama.
“Lihat kerajaan di peringkat Persekutuan (ketika ini), berapa parti ada? Itu gambarkan pentingnya penyatuan untuk kestabilan politik negara, kalau tiada penyatuan akan berlaku banyak ketidakstabilan.
“Oleh itu, Pas percaya UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti-parti di Sabah, Sarawak perlu bersatu demi kestabilan politik negara. Saya percaya akan ada usul-usul berkaitan yang akan dibawa nanti,” katanya pada sidang akhbar malam tadi.
Seramai 1,300 perwakilan dijangka menyertai muktamar itu yang berlangsung empat hari bermula 1 September melibatkan sayap-sayap dalam Pas iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat selain pertama kali melibatkan konvensyen Asabiqun atau Veteran Pas serta Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas sentiasa bersifat terbuka bagi menjayakan wawasan penyatuan ummah termasuk menjemput pimpinan UMNO ke muktamar itu, selain turut memanjangkan jemputan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).
“Penyatuan ummah bukan terhad kepada parti politik tertentu sahaja. Bila kita bersama UMNO dalam MN dan menandatangani piagam yang menyatakan dengan jelas penyatuan ini melibatkan parti-parti Melayu Islam, parti dianggotai Bumiputera di Sabah dan Sarawak dan parti-parti yang didominasi oleh orang bukan Islam tetapi tidak ekstrem.
“Sebab itu kita tiada halangan. Kita jemput semua orang. Tun Dr. Mahathir walaupun beliau tidak daripada Pakatan Harapan (PH), pun kita jemput. UMNO lagilah, kita tak pernah memutuskan hubungan walau apa pun yang dikatakan di sana sini mengenai Pas,” katanya.
Sementara itu, beliau mengesahkan Pas sedang memberi keutamaan untuk mengelak pertembungan lebih daripada dua penjuru yang dilihat hanya akan menguntungkan PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Itu adalah strategi memastikan kemenangan kerana apabila berlaku pertembungan lebih dua penjuru, dua-dua pihak yang kata nak buat penyatuan ummah atau perpaduan nasional ini kalah dan yang menang pihak ketiga seperti yang sudah terbukti dalam pilihan raya sebelum ini.
“Memang kita ambil pelbagai langkah daripada berlaku tiga penjuru melibatkan parti politik utama iaitu Perikatan Nasional (PN) Barisan Nasional (BN) dan PH yang memang selari dengan ketetapan parti,” katanya.- UTUSAN










