SERDANG: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan Parlimen bakal dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sejurus selepas pembentangan Belanjawan 2023 pada 7 Oktober.
Katanya, beliau membayangkan perkara itu berlaku selepas tarikh tersebut dan mungkin tiada perbahasan manakala keesokkannya pula pembubaran Parlimen.
Muhyiddin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh dalam masa sama turut membangkitkan persoalan mengapa belanjawan yang sepatutnya dibentangkan pada penghujung bulan Oktober itu, kini pula diawalkan.
“Biasanya dibentangkan pada penghujung Oktober. Sekarang ini nak dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga diawalkan pada 7 Oktober. Cuba tanya kenapa buat begitu?
“Kemungkinan selepas 7 Oktober bentang, tidak ada perbahasan belanjawan dalam Parlimen kerana esoknya Parlimen akan dibubarkan,” ujarnya semasa ucapan penggulungan Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin mendakwa Perdana Menteri sendiri akan membentangkan belanjawan itu dan bukannya Menteri Kewangan.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh rakan-rakan di dalam anggota Kabinet yang dipimpin oleh Ismail Sabri.
“Saya dimaklumkan oleh rakan dalam Kabinet kata Perdana Menteri nak bentangkan bajet. Yang biasa, bajet ini dibentangkan oleh Menteri Kewangan,” katanya. – UTUSAN