SEGAMAT: Semangat patriotisme dan cintakan negara disulami minat yang mendalam sebagai anggota polis menjadi pendorong bagi seorang pemuda sanggup hadir sebanyak 18 kali sesi temuduga pasukan keselamatan berkenaan.
Konstabel Polis Bantuan, Mohd. Aliff Kamal, 31, tidak kenal erti putus asa walaupun sudah 18 kali mengikuti temuduga jawatan polis.
“Sejak di bangku sekolah, cita-cita saya hanya mahu menjadi anggota polis. Namun rezeki menjadi polis bantuan lebih jelas dan saya tetap bersyukur setelah berusaha mencuba tanpa rasa jemu,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat.
Mohd. Aliff yang berkelulusan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka antara 146 pelatih yang menamatkan Latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 2/2022 di Pulapol Segamat, baru-baru ini.
Lebih membanggakan, dia turut diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar dengan menerima plak dan sijil penghargaan.
Menurutnya, pakaian seragam berwarna biru pasukan polis menjadi pembakar semangat dan tarikan utama untuk dia memilih kerjaya berkenaan sehingga sanggup mencuba sebanyak 18 kali.
“Faktor tidak cukup ketinggian yang menjadi syarat utama ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyebabkan 18 kali saya gagal pada sesi temu duga. Syarat ketinggian 163 sentimeter diperlukan sedangkan saya hanya tinggi 162 sentimeter.
“Oleh itu, bagi mencapai ketinggian ditetapkan, selama belasan tahun saya berusaha dan mencuba pelbagai cara untuk menambah ketinggian. Antaranya, melakukan pelbagai jenis senaman termasuk bergayut, berlari dan melompat setiap hari,” kongsi Aliff.
Akur dengan ketetapan syarat pengambilan anggota PDRM, Mohd. Aliff mencuba nasib memohon jawatan polis bantuan dan lulus ujian fizikal. “Usaha saya untuk menjadi anggota polis terhalang kini kerana melebihi usia 28 tahun. Walaupun banyak kali gagal menepati syarat ketinggian tersebut, saya gembira beroleh pengalaman menarik terutama sekali ketika ujian fizikal yang mencabar,” katanya yang berasal dari Papar, Sabah. –UTUSAN