JOHOR BAHRU: Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia menghadapi sebarang bencana pada skala besar semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) MKN, Hamzah Ishak berkata, perkara berkenaan bagaimanapun memerlukan kata putus Perdana Menteri dan tiga kementerian berkaitan.
Jelas beliau, hal itu kerana ketika ini Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta pengurusan bencana peringkat daerah dan negeri akan menguruskan sebarang insiden terlebih dahulu.
“Ya, kita bersedia (bencana ketika PRU). Seperti semasa Covid-19 lalu banyak berlaku krisis dalam pentadbiran politik termasuk peralihan kuasa Perdana Menteri. Sebagai agensi kerajaan kita akan bekerjasama dan mengurus sebarang insiden yang berlaku.
“Ketika Covid-19 lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) uruskan dahulu, kemudian keputusan dibuat agar MKN ambil alih pentadbiran pada 16 Mac 2020, dua hari kemudian, iaitu pada 18 Mac negara ‘lockdown’.
“Jadi, pada dasarnya kita bersedia untuk mengurus sebarang bencana, namun kita berharap pada skala kecil agensi-agensi di peringkat daerah dan negeri dapat melaksanakan pengurusan bencana terlebih dahulu sebelum ke peringkat tinggi,” katanya selepas menghadiri Forum Keselamatan Negeri Johor Tahun 2022 di Hotel Renaissance, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Hamzah berkata, keputusan agar MKN mengambil alih pentadbiran negara perlu dibuat dalam Sidang MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri bersama-sama Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Sementara itu, Hamzah turut memberitahu Malaysia masih meneruskan perbincangan dengan Singapura dan Indonesia tentang persempadanan maritim di perairan Selat Melaka dan timur Johor.
“Perbincangan ini melibatkan isu-isu teknikal seperti undang-undang maritim antarabangsa dan perbincangan ini dijangka akan mengambil masa lama, berpuluh tahun mungkin,” jelasnya. – UTUSAN










