Misteri wajah Penang Woman terungkai

Misteri wajah Penang Woman terungkai

SHAIFUL Idzwan Shahidan menunjukkan cetakan 3D wajah Penang Woman yang menggunakan kaedah 'Forensic Facial Approximation' (FFA) di USM, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Misteri wajah Penang Woman yang merupakan rangka manusia berusia lebih 5,000 tahun yang ditemukan di Tapak Arkeologi Guar Kepah, Kepala Batas dekat sini, pada 2017 kini terungkai selepas rupa bentuk wajahnya didedahkan hasil usaha sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM).

Cetakan 3D wajah Penang Woman itu telah dibentuk menggunakan kaedah Forensic Facial Approximation (FFA) berdasarkan tengkoraknya sebagaimana Perak Man.

Lakaran wajah Penang Woman yang siap sepenuhnya pada 5 Julai lalu itu dibuat menerusi kaedah 3D virtual reconstruction oleh sekumpulan penyelidik USM dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes iaitu individu yang se­ring menjadi rujukan dalam bidang pembinaan semula wajah forensik di negaranya.

Artikel jurnal berkenaan dengan wajah Penang Woman itu diterbitkan pada 5 Ogos lalu menerusi Applied Sciences, https://www.mdpi.com/journal/applsci.

Ahli pasukan penyelidik USM berkaitan Penang Wo­man, Shaiful Idzwan Shahidan berkata, pendedahan rupa bentuk wajah wanita itu adalah salah satu petunjuk penting yang membuktikan lebih 5,000 tahun lalu berlaku percampuran dua kelompok ras yang tinggal di kawasan Guar Kepah.

“Berdasarkan wajah Pe­nang Woman kita dapati di Guar Kepah terdapat percampuran dari kelompok Australomelanesoid (tipikal orang asli) dan Mongoloid.

“Berdasarkan kajian makmal daripada tulang dan tengkoraknya, beberapa maklumat diperoleh berkenaan Penang Woman iaitu dia berumur sekitar 30 hingga 35 tahun ketika meninggal dunia, tinggi (150 hingga 152 sentimeter) dan diet utama adalah protein laut,” katanya di sini semalam.

Guar Kepah di Kepala Batas merupakan tapak prasejarah pertama di Semenanjung yang digali untuk dikaji sejak 1863, kira-kira 162 tahun yang lalu.

Pada April 2017, seorang pakar arkeologi tempatan, Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin meneruskan penyelidikan di Guar Kepah dan menemukan satu rangka manusia iaitu pe­nemuan terpenting sepanjang penggaliannya.

Rangka manusia yang kemudiannya dinamakan Pe­nang Woman ditemukan dengan lengannya dilipat ke dada dan dikelilingi tembikar, alat batu dan beberapa spesies cengkerang.

Menurut Shaiful Idzwan, Penang Woman merupakan objek warisan yang tidak ternilai dan sangat signifikan bagi Tapak Arkeologi Guar Kepah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN