Mior Faridalathrash mahu beri khidmat sebagai peguam

Mior Faridalathrash mahu beri khidmat sebagai peguam selepas bersara

MIOR Faridalathrash Wahid dan Nor Qhadhijah Abdul Wahab menaiki kenderaan khas dalam majlis meraikan persaraan beliau di IPK Perak di Ipoh hari ini. - - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas 40 tahun menabur bakti bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Sang Saka Biru itu hari ini.

Mior Faridalathrash, 60, mengakhiri khidmatnya di Kontinjen Perak kerana bersara wajib selepas memegang jawatan berkenaan sejak November 2020 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau dan isteri, Datin Nor Qhadhijah Abdul Wahab diraikan pada Majlis Paluan Berundur, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini dengan dihadiri lebih 250 pegawai kanan dan anggota serta penjawat awam.

Majlis yang bermula pukul 4 petang itu, dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormatan dan dimeriahkan dengan persembahan pancaragam PDRM dan deklamasi sajak sebelum majlis paluan berundur dimulakan.

Menurut Mior Faridalathrash, meskipun telah bersara daripada pasukan, beliau berhasrat untuk terus menyumbang kepada masyarakat termasuk aktif dalam bidang perundangan sebagai peguam bela.

Katanya, bidang undang-undang amat dekat di hatinya memandangkan beliau juga mempunyai kelulusan dalam bidang berkenaan.

“Saya berkelulusan undang-undang, Insya-Allah, saya akan buat sesuatu berkaitan dengan bidang yang saya minat supaya saya terus aktif dalam menyumbang kepada masyarakat.

“Walaupun tidak berada dalam PDRM, saya akan terus menyumbang dengan caya saya. Saya akan aktif sebagai peguam bela dan membuka sebuah firma guaman untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat di Perak,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan khas sempena persaraan Ketua Polis Perak di pekarangan IPK Perak di sini hari ini.

Menurut Mior Faridalathrash, beliau juga bertekad untuk membantu PDRM meskipun tidak lagi menyarung uniform Sang Saka Biru.

“Selepas 40 tahun dalam PDRM, jiwa saya sebagai pegawai polis masih terpahat dalam sanubari dan insya-Allah, saya akan beri sokongan penuh kepada pasukan walaupun telah meninggalkan PDRM,” katanya.

Tambah anak kelahiran Kuala Kangsar itu, beliau juga bersyukur kerana diberi peluang dua tahun terakhir berkhidmat di negeri sendiri dengan menerajui Kontinjen Perak.

Katanya, kerjasama diberikan polis Perak serta masyarakat banyak membantunya dalam melaksanakan tugas sebagai Ketua Polis Perak dengan baik.

“Saya bersyukur pucuk pimpinan PDRM memberi saya peluang berkhidmat di Perak dan saya dapat menyumbang di tanah kelahiran saya. 

“Sepanjang dua tahun ini, saya amat gembira dan berpuas hati dengan kerjasama semua pihak. Semoga kerjasama baik ini akan memastikan Perak kekal dalam keadaan selamat dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya