MELAKA: Kerajaan negeri memohon pertambahan 52 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi membantu melancarkan tadbir urus di peringkat komuniti.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, permohonan tersebut telah dihantar kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk dipertimbangkan.
Jelas beliau, pertambahan itu penting kerana terdapat JPKK yang terpaksa berkhidmat di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi.
“Ada kawasan jagaan melebihi 300 buah rumah dengan jumlah penduduk mencapai 1,300 orang di satu-satu kawasan. Setakat ini terdapat 316 JPKK di Melaka dan jumlah itu lebih rendah berbanding sebelum ini .
“Ini disebabkan terdapat JPKK yang dibatalkan oleh kepemimpinan terdahulu, sekaligus memberi kesan kepada kebolehan mengurus dan mentadbir komuniti dengan lebih terancang.
“Pertambahan JPKK baharu ini juga dapat membantu pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) untuk memberi khidmat lebih berkesan dan cekap kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Watikah JPKK Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.
Sementara itu, mengenai aspirasi mewujudkan Kampung Sejahtera, Sulaiman berharap semua JPKK yang dilantik menerapkan sikap kepemimpinan terbaik dalam mencapai matlamat kerajaan negeri.
Katanya, pemimpin harus mengumpulkan data-data penting penduduk di kawasan tersebut dan lebih kreatif dalam penganjuran setiap program.-UTUSAN









