Masih tiada penangguhan buat Najib

Masih tiada penangguhan buat Najib

NAJIB Tun Razak hadir di Mahkamah Persekutuan pada hari keempat prosiding rayuan akhirnya semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Walaupun dikecewakan beberapa kali, peguam bela Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih meneruskan usaha untuk mendapatkan penangguhan.

Terbaharu, beliau cuba menangguhkan kes berkenaan yang dijadualkan bersambung Selasa ini kepada Khamis (25 Ogos) atas alasan mempunyai kes lain yang perlu diuruskan.

“Tuan Haji (Hisyam), seperti yang saya nyatakan sebelum ini, tiada penangguhan akan diberikan. Dalam rekod mahkamah, awak juga masih peguam (Najib),” kata Ketua Hakim Negara (KHN), Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan Hisyam bersedia dengan hujahan balas pada Selasa ini.

Hisyam: Tiada hujahan Yang Amat Arif.
KHN: Tiada hujahan Selasa ini?
Hisyam: Tiada sebarang hujahan.

KHN: Awak ada tiga hari, Sabtu, Ahad dan Isnin untuk bersedia. Tidak perlu memfailkan hujahan bertulis, hujah sahaja secara lisan.
Hisyam: Saya tidak akan membuat hujahan.

KHN: Walaupun secara lisan?
Hisyam: Walaupun secara lisan.

KHN: Awak bebas untuk berbuat apa sahaja. Kita jumpa semula Selasa ini. Mahkamah tangguh.

Hisyam kemudian memohon kehadirannya pada Selasa ini dikecualikan atas alasan beliau mempunyai kes lain yang perlu diselesaikan.

Bagaimanapun, permintaannya itu juga ditolak.

“Dalam rekod, awak masih lagi peguam (Najib). Kita jumpa Selasa depan untuk uruskan segalanya,” kata Hakim Tengku Maimun.

Dalam pada itu, pada 23 Ogos ini pelbagai kemungkinan boleh berlaku terhadap Najib.

Memandangkan peguamnya tidak mengemukakan sebarang hujahan pada rayuan akhir tersebut, Mahkamah Persekutuan boleh membuat keputusan pada hari yang sama (Selasa).

Panel lima hakim yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah juga boleh menangguhkan keputusan rayuan akhir itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Najib kini merayu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Nasib beliau bakal ditentukan oleh lima lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Selain Tengku Maimun, panel lima hakim lain adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah.

Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) turut menjatuhkan hukuman namun membenarkan permohonan peguam agar ia ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke atasnya.

Ketika pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, Najib yang juga Menteri Kewangan, pernah menjadi Penasihat Emeritus SRC dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN