KOTA KINABALU: Peruntukan RM102 juta telah pun diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) pada 2019 bagi menaik taraf jalan raya ke Kampung Terian, Penampang.
Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang kerja menaik taraf yang dimulakan.
Melihat perkembangan itu, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking melahirkan kekecewaan kerana kerja-kerja menaik taraf jalan tanah merah sejauh 17 kilometer ke kampung itu sepatutnya telah dimulakan.

Beliau berkata, persoalan mengenai kerja-kerja menaik taraf jalan tanah merah di situ telah dibangkitkan di Parlimen dan berdasarkan jawapan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), ia akan dimulakan pada November 2021.
Katanya, KPLB memaklumkan kerja-kerja menaik taraf terpaksa ditangguhkan semasa pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita faham jika ia ditangguhkan semasa PKP tapi sekarang sudah hampir 10 bulan daripada tempoh yang dijanjikan, masih tiada sebarang petanda jalan itu akan dinaik taraf.
“Jika saya sebagai pembangkang dituduh tidak buat kerja, di sini saya mahu soal kerajaan Persekutuan yang mentadbir negara ini sejak Mac 2020, apa yang mereka buat?,” katanya ketika ditemui semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan rintihan penduduk Kampung Terian, Penampang yang terpaksa mengharungi laluan tanah merah sejak merdeka tanpa sebarang perubahan.
Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan) itu berkata, kawasan itu memberi banyak cabaran kepada penduduk kampung termasuk anak-anak sekolah yang terpaksa bersekolah di kawasan pekan yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Kampung Terian dan kampung sekitarnya.
Itu sebabnya semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) plus Warisan, kerajaan meluluskan pembinaan sebuah sekolah menengah yang dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kipouvo, di kawasan berhampiran. Namun, projek itu juga masih belum dilaksanakan.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan projek pembinaan SMK Kipouvo, Penampang dijangka mula dibina pada November 2020.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Md Jidin memaklumkan kelulusan pelan pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) diterima pada 12 Februari 2019 dan kelulusan pelan bangunan pada 19 November tahun yang sama.
Darell berkata, amat mengecewakan apabila semua projek menaik taraf jalan dan pembinaan sekolah itu belum dilaksanakan sehingga sekarang. –UTUSAN










